Selasa, 24 Ogos 2010

Kenyataan Tan Sri Joseph Kurup Berkenaan Lori Balak jalan Sook

NABAWAN: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup meminta supaya pihak yang berkuasa mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori balak yang tidak mematuhi peraturan jalan raya. Katanya, tindakan perlu diambil terhadap pemandu yang terbabit kerana mereka tidak menghiraukan keselamatan pengguna yang lain terutama pengguna kenderaan kecil dan pejalan kaki.

“Mereka menganggap jalan raya adalah jalan mereka sendiri dengan membawa muatan yang lebih sehingga melebihi had panjang yang dibenarkan dari trak lori malah ada yang membawa muatan melebihi lebar trak,” katanya kepada Times New Sabah selepas melepaskan rombongan Konvoi Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan yang ke daerah Tawau di simpang Pejabat Daerah di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemalangan maut yang membabit pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan II yang dipercayai terkait pisau bulldozer yang diangkut sebuah lori trailer di Kg Tetagas pada Khamis.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, ramai pengguna terutama pemandu kenderaan besar tidak mematuhi jalan raya sehingga menghalang dan membahaya kepada pengguna yang lain.

“Jika terdapat pemandu yang berbuat demi- kian, tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada mereka,” tegas Kurup.
Katanya, perbuatan pemandu seumpama itu jangan dibiarkan berterusan kerana ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Selepas melepaskan rombongan konvoi 46 buah kenderaan anjuran Biro Tata Negara (BTN) yang diketuai oleh Pengarahnya Datuk Haji Ibrahim Saad itu Kurup menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Kg. Tetagas.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Elron Angin, Pegawai Daerah Nabawan Bubudan O.T Majalu, ketua-ketua jabatan dan pemimpin- pemimpin masyarakat
Sumb: Akhbar Sabah Times, 23 Ogos.

Sabtu, 21 Ogos 2010

PERUNTUKAN AHLI PARLIMEN L-BANDAR MUNGKIN DITAMBAH


SERAH KUNCI ... Shafie (tiga, kanan) serah kunci PBR kepada salah seorang penerima.

NABAWAN: Kerajaan akan menimbang untuk menambah peruntukan Ahli Parlimen di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal berkata, kerajaan akan meneliti tambahan peruntukan bagi Ahli Parlimen di kawasan luar bandar yang terpencil terutama di Sabah dan Sarawak.

“Kita akan teliti terlebih dahulu sebelum melaksnakannya kerana ia perlu dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan,” katanya kepada media selepas Program Mesra Rakyat di Felcra Pamuntarian dekat sini kelmarin.

Beliau mengulas permintaan Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup agar peruntukan Ahli Parlimen di kawasan luar bandar ditambah.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, Kementeriannya juga akan menimbang dan meneliti tambahan peruntukan Ahli Parlimen kawasan luar bandar kerana di kawasan yang terpencil memerlukan peruntukan yang lebih untuk melaksanakan projek pembangunan yang dirancang.

Bagaimanapun katanya, tambahan peruntukan Ahli Parlimen yang diminta itu bukan sahaja untuk Ahli Parlimen kawasan luar bandar tetapi ia juga dipertimbangkan bagi kawasan Parlimen yang berhampiran di bandar yang masih memerlukan pembangunan.

Menjawab soalan lain Shafie berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan melaksanakan program turun padang yang ditekankan Perdana Menteri Dato’Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Katanya program turun padang membolehkan kepimpinan melihat suasana di luar bandar dan rakyat di akar umbi.

“Apabila kita turun ke bawah, permasalahan penduduk yang perlu diselesaikan dapat di lihat dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, KKLW mempunyai agensi-agensi seperti Kemas, Felcra, Risda dan Mara yang turut menjayakan program Kementerian.

Katanya, agensi-agensi berkenaan mempunyai peranan masing-masing membantu rakyat untuk peningkatan ekonomi.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata KKLW akan memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan Nabawan.

Beliau berkata, Kementeriannya telah banyak menerima cadangan-cadangan projek pembang- unan di daerah ini daripada pemimpin-pemimpin di kawasan ini.

Shafie turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM13.57 juta untuk membiayai projek di bawah NKRA.

Daripada jumalah peruntukan itu katanya, RM8.7 juta membiayai bekalan elektrik bagi 225 buah rumah penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini.

RM4.4 juta lagi membiayai pembinaan 100 buah rumah dibawah Program Bantuan Rumah (PBR) sementara itu RM220,000 diperuntukkan untuk pembinaan parti bagi 11 buah kampung di daerah ini dan RM200,000 untuk Prgoram Peningkatan Pendapatan membabitkan 20 peserta.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah yang juga Adun Naba- wan Datuk Bobbey Suan, Kurup, Ketua Umno Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin, Ketua Pengarah Kemas Malaysia Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan, Pengarah Kemas Sabah Drs Massidi Kantong, Ketua Pegawai Ekskutif Felcra Berhad Haji Juziman Basir, Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Sabah Haji Samian Mohd. Ali, Pegawai-Pegawai Kanan Kemas dan Felcra, ketua-kerta jabatan dan pemimpin- pemimpin masyarakat.

Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang itu Shafie menyampaikan dividen berjumlah RM172,666 kepada 81 peserta Felcra Berhad Pamuntarian.

Beliau juga menyampaikan kunci rumah PBR, satu set komputer untuk Tabika Kemas Mosopoh, Bantuan Ekonomi dan buku prospektus sumbangan Kelab Pencinta.

Sementara itu dalam Majlis Mesra Rakyat di Kg. Bakuku, Tenom Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu meluluskan peruntukan RM33.03 juta untuk pembangunan projek di kawasan Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.

Peruntukan itu membiayai pembinaan jalan luar bandar sepanjang 11 kilometer bernilai RM22.5 juta untuk kegunaan 1,400 penduduk.

Projek-projek lain yang dibiayai dengan peruntukan itu, bekalan elektrik untuk 13 buah kampung membabitkan 187 buah rumah dengan kos RM5.1 juta, Program Bantuan Rumah sebanyak 130 buah bagi daerah Tenom dan Kemabong RM5.2 juta dan Program Peningkatan Pendapatan bagi empat buah kampung dengan 20 peserta RM200,000.

Pada majlis itu, Shafie juga mengumumkan projek naiktaraf jalan Kuala Tomani – Ulu Tomai sejauh kira-kira 23 kilometer yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan dan menaiktaraf rumah kebudayaan Kg. Bakuku pada tahun ini.

Di Tenom Shafie diraikan dalam satu majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, Adun Liawan Datuk Haji Sairin Haji Karno, Adun Bingkor Justin Guka, Adun Sook Datuk Ellron Angin, Abdul Ghani, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Haji Ruslan, Exco Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar, ketua-ketua jabatan dan pemimpin- pemimpin masyarakat di kawasan ini.

BELIA DARI MUKIM TRANS-PAGALAN DAN MUKIM ANSIP, KENINGAU MOHON PEMBANGUNAN SEIMBANG DI ANTARA BANDAR DAN LUAR BANDAR


Datuk Ellron Angin memuji sikap para peserta atas kesungguhan mereka menyertai bengel dari mula hingga akhir sambil mengingatkan para belia agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak sihat

En. Rayner F. Udong, Ketua Penerangan PBRS sedang menyerahkan sijil kepada penceramah.

Peserta sedang berbengkel...

Mendengar ceramah dengan penuh khusuk...

Keningau: Bengkel bertema “1Malaysia: Di manakah kedudukan belia di luar bandar dalam era globalisasi hari ini?” telah diadakan baru-baru ini (26 Jun 2010 Sabtu), bertempat di Dewan Masyarakat Kg Kapayan Baru, N37 Sook, P182 Pensiangan. Bengkel itu telah dianjur oleh Biro Media dan Perhubungan Awam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang dipengerusikan oleh En. Rayner F. Udong. Bengkel sehari itu telahdirasmikan oleh Y.B Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia merangkap Ahli Dewan Rakyat dan Presiden PBRS manakala penutupan dilakukan oleh Y.B. Datuk Ellron Angin, ADUN N37 Sook, merangkap Pembantu Menteri Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah Tiga kertas kerja telah dibentangkan di dalam bengkel itu, iaitu Pertama; “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” disampaikan oleh En Jainin Yadtaroh dari Jabatan Penerangan Keningau.
Kedua; “Belia Hari Ini: Trend Pemikiran dan Cabaran” disampaikan oleh En. Arthur Joseph Kurup dan Ketiga; “Aktiviti Ekonomi Belia: Petani Moden” yang disampaikan oleh En. Thompson Rayner Seramai 48 orang peserta mewakili 12 buah kampong (2 orang setiap kampong) di kawasan Mukim Trans-Pagalan dan Mukim Ansip telah menyertai bengkel itu. Objektif Bengkel itu antara lain ialah; (a) Mengeratkan lagi hubungan di kalangan belia di kawasan Mukim Sebrang / Trans-Pagalan dan Mukim Ansip. (b) Mendedahkan kepada para belia berhubung dengan makna Slogan “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan (c) Memberi ruang dan peluang kepada para belia untuk menyatakan dan menyalurkan luahan hati, aspirasi dan kehendak belia di luar Bandar pada hari ini.
Di dalam ucapan perasmian bengkel itu, Y.B. Tan Sri Datuk Sri Panglima Joseph Kurup menyatakan bahawa bengkel pada hari itu adalah hasil cetusan minda pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Beliau menyarankan supaya para peserta menggunakan kesempatan itu untuk menyalurkan pendapat, menyatakan aspirasi dan dijadikan wadah untuk menzahirkan masalah serta keperluan para belia di luar bandar. Beliau juga menyarankan para belia luar bandar supaya senantiasa peka terhadap perkembangan di sekeliling mereka setiap masa kerana keadaan dunia pada masa ini tidak lagi “bersempadan”. Para belia harus kreatif dan innovatif dalam era globalisasi hari ini. Belia harus pandai mencari pendekatan baru, untuk keluar daripada sesuatu masalah.
Misalnya, beliau telah mengajak para peserta bengkel untuk menggunakan kreativiti dan innovasi untuk menyelesaikan sesuatu masalah, Misalnya, kata Tan Sri, bolehkah atau tidak, seorang penjenayah berat dan seorang lagi penjenayah biasa yang akan dipenjarakan, ditempatkan di dalam satu penjara yang sama? “Bagaimana menggunakan kreativiti dan innovasi di dalam menyelesaikan persoalan sebegitu?” tanyanya Para belia adalah pemimpin masa hadapan. Justeru itu, para belia mestilah bersedia untuk menimba ilmu supaya tidak ketinggalan dan tidak terpinggir di dalam arus perubahan “dunia tanpa sempadan kini”. Y.B. Tan Sri mengingatkan juga agar para belia pandai menilai maklumat yang baik dan yang tidak baik kerana terlalu banyak maklumat yang boleh didapati hari ini, misalnya dari internet.
Justeru , para belia mestilah berfikir sebelum membuat keputusan dan bukan menerima bulat-bulat sebarang maklumat yang disogokkan kepada mereka tanpa memikirkan nilai maklumat itu. Y.B. Tan Sri juga menasihatkan para peserta agar menggunakan kesempatan dalam bengkel itu untuk mengemukakan cadangan-cadangan supaya para belia di luar bandar terlibat secara langsung di dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Para peserta juga digesa untuk bersatu memberi input kepada pihak kerajaan supaya aspirasi dan keperluan belia luar bandar dapat direalisasikan oleh pihak kerajaan. “Kerajaan berperanan untuk menunaikan tanggungjawab bagi kepentingan belia tetapi pada masa yang sama para belia juga bertanggung jawab untuk memberi input kepada pihak kerajaan” tambahnya. Y.B. Tan Sri mengingatkan para belia supaya berfikiran positif dengan menganggap diri mereka berguna bukan sahaja untuk keluarga mereka sendiri tetapi juga untuk masyarakat dan Negara.
Diri mereka adalah asset yang sangat bernilai buat masyarakat dan Negara. Sebab itu beliau mahu para belia luar bandar bersikap kreatif dan innovatif dan senantiasa bersedia untuk menerima perubahan dan senantiasa berpandangan jauh. Y.B. Tan Sri tidak sanggup melihat para belia di luar bandar ketinggalan dan terpinggir dalam RMK10. Teks Ucapan Tan Sri adalah seperti berikut: Di dalam bengkel tersebut, para belia telah mengenalpasti bahawa masalah belia di luar Bandar antara lain ialah kekurangan maklumat tentang isu-isu semasa, masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran dan memulakan perniagaan, tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik, sikap belia yang tidak pandai mengambil tahu, kurang pendedahan teknologi, salah guna teknologi, masalah rempit (Lumba Haram), kurang kegiatan sosial, salahguna minuman, kurang kegiatan riadah, pengaruh negatif (melepak, pergaduhan, vandalisme, gangster, pengaruh rakan sebaya), kurang kemudahan untuk saluran informasi seperti internet, perpustakaan (untuk tempat rujukan), pengangguran, buang masa dengan merokok dan ‘moginum’ Untuk mengatasi masalah belia di luar Bandar, para peserta bengkel mencadangkan perkara berikut; Kerajaan membuat program khusus untuk para belia. (Contoh: bengkel seperti pada hari itu), belia harus bersifat terbuka untuk mengikuti sebarang program dan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan, perlu ada pendedahan maklumat. (Contoh: membina perpustakaan, pusat internet di kampung-kampung), belia sendiri melibatkan diri dalam kegiatan sosial (contoh: sukan / riadah), menyokong kerajaan untuk pembangunan kampung, kurangkan masa belia dalam melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, perubahan mentaliti belia-belia lebih berfikiran tebuka dan ke hadapan, menambahkan kemudahan IT untuk memudahkan belia mencari info, melibatkan diri dengan aktiviti berfaedah seperti pertanian, kebudayaan, sukan dan kebajikan.
Para peserta telah membuat resolusi bahawa kerajaan dan swasta harus sama-sama memainkan peranan untuk memajukan ekonomi belia luar bandar dengan menyediakan kemudahan dan bantuan dalam bidang pertanian. (Contoh: Tanam getah, padi, dsb,), perikanan dan perniagaan (IKS). Para peserta mohon kepada pihak kerajaan supaya koperasi belia di luar Bandar dibentuk dan seterusnya diberi bantuan keewangan sewajarnya. Mereka mohon kepada pihak kerajaan supaya mengadakan bengkel sekerap yang boleh, memberikan bantuan kewangan untuk modal bagi belia yang kurang mampu, membawa peluang pekerjaan khususnya bidang pertanian dan pelancongan, menyediakan saluran pendedahan kemajuan teknologi (pusat komputer), gelanggang sukan, penganjuran aktiviti, salurkan bantuan untuk infrastruktur asas, mengadakan khidmat nasihat (konsultan) dari semasa ke semasa, bantuan kewangan dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan dan menghasilkan produk, belia libatkan diri dalam sektor pelancongan, peruntukan untuk kemudahan seperti perpustakaan, siber, gelangang futsal dipercepatkan, mengikuti kursus untuk menambah pengetahuan.
Mereka juga telah memutuskan untuk menyokong kerajaan yang ada sekarang tetapi dengan syarat, iaitu; para pemimpin perlu ambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh belia luar bandar dan mengujudkan 1 organisasi belia yang efesien, memastikan pergerakan belia aktif (dengan peruntukan kewangan untuk kemudahan belia) dan belia dilibatkan dalam kegiatan ekonomi. Pada masa ini para peserta mendapati pemerintahan kerajaan memenuhi kehendak dan keperluan rakyat, seperti penyediaan kemudahan awam (jalan raya, lampu jalan, dewan, gelangang,..), menjamin keharmonian di bawah gagasan 1 Malaysia dan kerajaan mendengar suara rakyat. Bagaimanapun, para belia mendapati bahawa kerajaan yang ada sekarang perlu menambahbaik sistem penyampaiannya.
Antara lain, kerajaan harus menseimbangkan keutamaan di antara bandar dengan luar bandar. Tumpuan bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar khususnya dalam usaha meningkatkan ekonomi dan taraf hidup belia dan rakyat seluruhnya. Para belia mohon supaya parti-parti kerajaan turun padang setiap masa dan bukan semasa menjelang pilihanraya sahaja. Para pemimpin harus kerap bersama rakyat dan orang kampung. Turun padang dan memberi pendedahan tentang perkembangan isu-isu semasa, telus, amanah dan perlu memahami keperitan rakyat/penduduk, mesra rakyat dan sensitif terhadap keperluan rakyat. Para belia mengharapkan agar para pemimpin tidak melakukan rasuah, pecah amanah, membuat janji bohong / “janji terang bulan”, cakap tidak serupa bikin, tidak menepati masa, tidak mesra rakyat, tidak amalkan 1 Malaysia, mengenepikan keperluan rakyat, pandang rendah orang kampung, perkauman, pentingkan diri sendiri, diskriminasi, tidak menepati masa serta mengelak diri daripada berjumpa rakyat.
Dalam bengkel itu, para peserta merumuskan bahawa pihak kerajaan lambat menyediakan peruntukan pembangunan yang diminta oleh rakyat, kurang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, mengutamakan ekonomi di bandar semata-mata, kurang mengambilkira kepentingan alam sekitar, berlaku diskrimanasi, jurang perbezaan yang ketara (pendapatan isi rumah), kurang peka terhadap masalah pengangguran / pekerjaan (terutamanya di luar bandar) dan permohonan-permohonan lambat diberi tindakbalas. Sebab itu mereka merayu kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam semua bidang khususnya di luar bandar. Penutupan bengkel dilakukan oleh Y.B. Datuk Ellron Angin. Di dalam ucapan penutupan bengkel, beliau memuji sikap para peserta atas kesungguhan mereka menyertai bengel dari mula hingga akhir sambil mengingatkan para belia agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak sihat.
Beliau juga menyatakan bahawa belia pada hari ini merupakan pemimpin pada masa akan datang. Oleh sebab itu, mereka harus melengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Ilmu dalam erti kata pengetahuan dan bukan “ilmu hitam”. Berdasarkan kepada makumbalas yang diterima oleh pihak penganjur, bengkel pada hari itu telah mencapai objektifnya. Para peserta mencadangkan supaya bengkel seperti itu perlu diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Penulis: En. Rayner F. Udong [ Ketua Penerangan PBRS]Tarikh: 26 Jun 2010, Sabtu

JKR AKAN SELENGGARA JALAN HUTAN SIMPAN


Oleh: ROZIE JUMAT

SEBANYAK dua buah rangkaian jalan di daerah Kecil Sook yang masih di bawah konsensi Jabatan Hutan telah dicadangkan untuk diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jalan itu merangkumi Jalan Bornion dan Jalan Batu 16 sehingga ke Kg.Pohon Batu (termasuk jalan dari SK.Karamatoi ke Kg.Sanang) yang melibatkan 40 kilometer. Jalan-jalan tersebut masih dikenali sebagai jalan balak dan merupakan jalan utama penduduk kampung.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) N.37 Sook, Charles Ikang berkata, Pejabat JKR Daerah Kecil Sook juga telah dihubungi dan mengesahkan bahawa jalan-jalan tersebut juga telah dicadangkan oleh JKR untuk diambil alih.

Charles menafikan tomahan atau rungutan rakyat bahawa pejabat itu dan Wakil Rakyat tidak melihat kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan itu.

Beliau mengulas kenyataan akhbar yang dibuat oleh seorang ketua kampung dari Kampung Lumiri, mendakwa wakil rakyat tidak menunaikan janji.

“Jalan raya yang dimaksudkan itu merupakan jalan balak yang masih di bawah konsensi Jabatan Hutan, bagaimanapun wakil rakyat (Datuk Ellron Angin) telah masukkan dalam senarai peruntukan pembaikan jalan,” kata Charles.

Untuk makluman kata Charles, pejabat UPKR Sook telah menyenaraikan perancangan pembangunan bernilai RM90 juta pelbagai kemudahan termasuk penyelenggaraan jalan di kawasan itu.

Oleh itu kata Charles adalah tidak benar wakil rakyat tidak melihat kesusahan rakyat di kawasan itu, malahan banyak melawat dan turun ke bawah bagi mendalami masalah dan kesusahan rakyat.

Malahan kata Charles, wakil rakyat dan Pejabat UPKR mengadakan mesyuarat bersama dengan pengerusi-pengerusi jawatan kuasa keselamatan kampung yang bertujuan antara lainnya mengetahui masalah di peringkat kampung.

Beliau juga menasihati pengerusi JKKK atau pemimpin kampung agar datang ke pejabat UPKR untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan atau berkenan dengan projek kampung yang mereka pohon.

“Bagi pihak wakil rakyat dan rakyat di Sook, kami ingin ucapkan terima kasih kepada JKR yang memasukkan jalan tersebut (termasuk jalan Kg. Lumiri) untuk diselenggarakan, kita juga mahu rakyat bersabar,” kata Charles.

Charles yang juga Setiausaha Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Pusat juga merayu kepada kerajaan agar kawasan pedalaman seperti N.37 Sook diberikan peruntukan berlebihan memandangkan keadaan kawasan itu yang masih lagi memerlukan suntikan pembangunan.

Penduduk minta siapkan segera pembinaan SK Salarom

NABAWAN 4 Sept. – Jabatan Pelajaran Sabah diminta menyegerakan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom, dekat sini bagi memastikan lebih 100 pelajar di sekolah berkenaan dapat belajar dengan selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak pembinaan mendapati projek membina bangunan menggunakan kaedah pasang siap itu kelihatan seperti terbengkalai apabila bahan-bahan binaan bersepah dan tidak menampakkan kerja-kerja sedang dijalankan.

Beberapa pemimpin masyarakat dari kampung berdekatan ketika ditemui menyuarakan rasa kecewa dan bimbang dengan keadaan itu dan meminta pihak berkuasa mengatasi segera kelewatan itu.

Ketua Kampung Salarom, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kerja-kerja pemasangan itu amat perlahan menyebabkan bahan-bahan pembinaan serta peralatannya rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Keadaan itu katanya, membimbangkan ibu bapa kerana jika bangunan sekolah baru itu yang dimulakan kerja-kerjanya pada 2007 lambat siap, kesesakan akan terus berlaku di bangunan lama sekolah.

“Bukan itu sahaja, perkara yang amat dibimbangkan tahap kebersihan dan keselamatan di persekitaran kawasan itu kerana terdapat serpihan dan potongan zink bertaburan di merata tempat,” katanya.

Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan katanya, pekerja-pekerja pembinaan sekolah pasang siap yang tinggal di situ membuang air besar di kawasan semak sekolah itu.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab pekerja berkenaan disedari oleh ibu bapa semasa mengadakan gotong-royong membersih kawasan sekolah itu baru-baru ini.

Ketua Kampung Tataluan, Andoi Tawanon, 61, pula berkata, bangunan baru sekolah itu sepatutnya tidak mempunyai masalah kerana semua bahan-bahan pembinaan sudah tersedia.
“Semua bahan sudah ada dan cuma menunggu untuk dipasang sahaja, kita boleh lihat bahan-bahan binaan dan peralatan berlonggok dan ada sesetengahnya sudah rosak,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak sekolah tidak boleh berdiam diri dengan keadaan tersebut dan tindakan tegas perlu dilakukan untuk kebaikan murid-murid sekolah tersebut.

Sabah&Sarawak: Pendapatan boleh bantu sara keluarga

Oleh Hassan Omarhassanomar@bharian.com.my

SOOK: “Alhamdulillah, dengan adanya ladang baru ini, saya memperoleh pendapatan lebih tinggi untuk menyara keluarga. Sebelum ini, belum pernah saya menikmati pendapatan yang agak memuaskan seperti sekarang.

“Saya berjanji akan menggunakan pendapatan ini untuk meringankan beban ibu bapa membesarkan adik-beradik saya.”

Kata-kata penuh kesyukuran itu lahir daripada mulut Zalina Petrus, 18, seorang daripada pekerja di ladang getah terbesar di Malaysia milik Bornion Timber Sdn Bhd (Bornion Timber) di Hutan Simpan Ulu Sungai Miliam, dekat sini ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Zalina dan dua rakannya, Stella Tatui, 21, dan Rosyani Maludin, 18, tidak pernah mengimpikan peluang pekerjaan lebih baik selain terpaksa menahan panahan terik matahari ketika memerah keringat di ladang berkenaan.

Sejak Jun lalu, mereka mula bekerja di ladang itu selepas hanya membantu keluarga masing-masing mengusahakan sawah dan menoreh getah di Kampung Simpang Empat, tidak jauh dari ladang berkenaan.

“Tak banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman seperti di tempat kami ini. Pembukaan ladang ini sejak beberapa tahun lalu memberi peluang kami menambah pendapatan. Terima kasih kepada Bornion Timber kerana memberi peluang kepada kami untuk sama-sama memajukan ladang ini,” kata Rosyani.

Setiap hari, mereka akan memastikan anak benih getah di tapak semaian di kawasan seluas 10 hektar di ladang berkenaan diletakkan baja bagi membantu tumbesarannya sebelum dipindahkan ke ladang.

Dengan menahan panas terik matahari, mereka bergerak dari satu pokok ke pokok lain ketika meletakkan baja berkenaan.

Bagi Stella, pencapaian akademik yang tidak tinggi menyebabkan beliau terpaksa berpuas hati memerah keringat di ladang berkenaan bagi membantu ibunya membesarkan lapan adiknya.

“Sejak kematian ibu bapa dua tahun lalu, Rosyani tinggal bersama kami. Pendapatan dengan mengusahakan sawah dan menoreh getah sebelum ini tidak cukup untuk kami sekeluarga. Sekarang, kami mendapat gaji lebih baik di ladang ini,” katanya.

Ladang getah Bornion Timber seluas 25,000 hektar dimajukan di kawasan bekas konsesi penebangan balak seperti merapoh, meranti, cengal dan berlian.

Konsesi pembalakan itu terus dipulihara melalui kaedah Unit Pengurusan Hutan (FMU) di bawah Pengurusan Hutan Secara Mapan (SFM).

Bornion Timber dan rakan kongsinya dari Guandong, China – Kumpulan Guangken Rubber (Guangken) melabur RM230 juta dalam tempoh lapan tahun pelaksanaannya dan bakal meraih keuntungan apabila pokok berkenaan mampu ditoreh selepas berusia enam tahun manakala untuk ditebang, tempoh 25 tahun diperlukan.

Bagi bekas pekerja Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Angkal Emoi, 60, yang kini mencurahkan pengalamannya sebagai perunding di ladang Bornion Timber memberi peluang kepadanya untuk menambah pendapatan bagi membiayai perbelanjaan keluarganya.

Dengan anak lapan orang dan dua daripada mereka masih menuntut ilmu, Angkal bersyukur kerana syarikat berkenaan tidak melihat aspek umur sebagai penghalang untuk beliau menabur bakti.

“Saya ditugaskan mengahwinkan beberapa jenis benih. Antara benih yang kami sediakan di sini ialah PB260, 350 dan 355 manakala RRIM pula ialah 23, 24 dan 25.

“Saya menggunakan pengalaman bekerja selama 30 tahun di LIGS untuk membantu menghasilkan benih pokok getah terbaik di ladang ini,” katanya.

Projek Agropolitan di Pegalungan


2,400 hektar tanah dimaju dengan projek pertanian bantu golongan miskin

NABAWAN: Kawasan seluas 2,400 hektar di Pegalungan dekat sini, akan dimajukan dengan projek pertanian berasaskan Agropolitan bagi membantu anggota masyarakat miskin dan miskin tegar meningkatkan sosioekonomi, sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan, berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada dasarnya bersetuju melaksanakan projek berkenaan berdasarkan keluasan tanah ekonomik, selain keperluan membantu anggota masyarakat Pegalungan menikmati kesan pembangunan negara.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, beberapa agensi bawah kementerian berkenaan, terutama Felcra Bhd akan menjalankan kajian mengenai jenis tanaman yang sesuai diusahakan di kawasan itu sama ada getah atau kelapa sawit.

“Kita yakin projek ini akan dilaksanakan kerana kawasan itu sesuai dimajukan sejajar usaha Kementerian Kerja Raya membina jalan berturap dari Sepulot ke Pegalungan.

“Ketika ini, penduduk Pegalungan masih bergantung kepada perahu sebagai alat pengangkutan utama. Apabila jalan dibina tidak lama lagi, Pegalungan akan menerima impak kemajuan, terutama dalam sektor pertanian,” katanya di sini, baru-baru ini.

Projek Agropolitan merujuk kepada pembangunan bandar dalam kawasan pertanian. Kementerian berkenaan sudah melaksanakan Projek Agropolitan menerusi Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMB) di Pulau Banggi, dekat Kudat.

Ia membabitkan pembukaan ladang getah seluas 4,400 hektar sejak awal 2007. Seramai kira-kira 1,000 ketua isi rumah miskin dan miskin tegar diberi peluang memiliki ladang getah seluas empat hektar seorang, selain perkongsian ekuiti dalam ladang berkenaan.

Kementerian itu turut menyediakan rumah kos rendah untuk keluarga terbabit, selain memajukan kawasan lain di pulau berkenaan dengan projek penternakan ikan dalam sangkar.

Pelaksanaan projek Agropolitan itu juga menyebabkan jalan raya dibina dari pekan Karakit ke beberapa kampung berbanding sebelum ini yang menyaksikan anggota masyarakat terpaksa meredah laluan tidak berturap.

Bobbey berkata, projek Agropolitan di Pegalungan tidak 100 peratus sama dengan projek di Pulau Banggi berikutan perbezaan peruntukan kerana PLMB di Pulau Banggi adalah satu daripada projek mega kementerian itu yang turut dilaksanakan di Pahang, Perak dan Sarawak.

Katanya, beliau akan membelanjakan RM50,000 daripada peruntukan wakil rakyatnya untuk membeli benih pokok gaharu untuk diagihkan kepada anggota masyarakat.

Pembinaan jalan elak penduduk berperahu semula


Usaha memajukan kawasan terpencil sebagai tarikan pelancong asing

PENSIANGAN: “Kami tidak sanggup lagi berperahu ke Salong sebab minyak mahal. Kami berterima kasih kepada pemaju yang bermurah hati membuka semula laluan balak untuk dijadikan jalan dari pekan Sepulot ke kampung kami.

“Paling akhir kami gunakan laluan balak ialah 1994. Selepas itu tak boleh digunakan lagi kerana syarikat pembalakan sudah habis mengeluarkan balak di sini, jadi tiada siapa mahu menyelenggara laluan itu dan terpaksalah kami berperahu.”

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pensiangan, Bluroh Angayang, 45, tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ketika ditemui Berita Harian di kampung itu baru-baru ini, mengenai pembinaan jalan tidak berturap sepanjang 34 kilometer (km) dari Sepulot ke kampung berkenaan.

Beliau berkata, sejak 1994, kira-kira 100 penduduk kampung itu dan ratusan lagi penduduk Kampung Sinakuluan, Sosoko, Kuyoh, Sikait, Sabinait, Sumolombong, Kapiasau, Binanding, Pegalungan, Silungai, Buntong, Sigatal, Sikalabut dan Sebuayoh tidak mampu menggunakan laluan balak ke Sepulot.

Selain ditutupi pokok, laluan itu tidak mampu digunakan kerana kebanyakan tebingnya runtuh akibat hakisan manakala ketiadaan penyelenggaraan memburukkan keadaan.

Bluroh berkata, penduduk seolah-olah sudah jemu meminta kerajaan menyediakan jalan berkenaan bagi kemudahan mereka dan beberapa kampung berhampiran.

“Rayuan kami tidak diberi perhatian. Kami faham, tiada apa yang ada di kampung kami. Tiada sumber ekonomi yang menguntungkan. Bagaimana kami hendak memajukan kebun getah dan tanaman lain kalau tiada jalan untuk mengangkut hasil pertanian kami keluar?

“Dengan adanya jalan ini, kami berjanji akan berusaha lebih gigih memajukan kebun getah dan tanaman lain,” katanya.

Berita Harian sebelum ini melaporkan usaha syarikat pemaju hartanah yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Helang Biru Bumi Sdn Bhd (Helang Biru) membina semula jalan dari Sepulot ke Kampung Pensiangan.

Ini kerana syarikat itu bakal memajukan industri pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi dan projek penternakan kambing serta lembu di kawasan kira-kira 200 hektar di Kampung Siatoh, dekat sini.

Pengarah Urusannya, Rugayah Ali, dilaporkan berkata, pembinaan jalan menelan kos tinggi itu bertujuan memajukan kawasan terpencil berkenaan sebagai tarikan pelancong domestik dan antarabangsa yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Penduduk Kampung Pensiangan, Siguntang Ngilo, 46, berkata penduduk kampung terhutang budi kepada syarikat itu kerana dapat menumpang jalan yang dibina untuk tujuan komersial Helang Biru.

“Bayangkan, setiap kali kami pergi balik pekan kecil Salong dengan menaiki perahu, kami terpaksa habiskan RM80 untuk membeli petrol. Dengan nilai wang sama kalau kami menggunakan kenderaan darat, kami sudah boleh sampai ke Keningau.

“Susah untuk kami membawa hasil pertanian menggunakan perahu. Kalau arus terlalu deras, kami tidak dapat keluar. Kalau musim kemarau, sungai menjadi terlalu cetek dan tidak boleh dilalui perahu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan jalan berkenaan secara tidak langsung memberi galakan kepada penduduk untuk memajukan kebun masing-masing, selain memudahkan penduduk membawa pesakit ke klinik di pekan Nabawan atau hospital di Keningau berbanding terpaksa menggunakan perahu.

Turun Padang; Bobbey faham masalah dihadapi penduduk


Adun Nabawan gigih bawa pembangunan elak rakyat berasa terpinggir

PENGALAMAN pahit berjalan sejauh empat kilometer (km) berulang-alik dari Kampung Tampanon ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Keningau (sekarang Sekolah Menengah Gunsanad), membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan memahami kehidupan masyarakat di luar bandar.

Kini pada usia 55 tahun, Bobbey yang memikul tanggungjawab memajukan anggota masyarakat di lima mukim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, gigih berusaha membawa pembangunan lantaran tidak mahu rakyat berasa terpinggir daripada arus kemajuan hasil lebih separuh abad kemerdekaan negara.

Berkat komitmen tinggi untuk menyaksikan anggota masyarakat di mukim Nabawan, Pamuntarian, Sepulot, Pegalungan dan Pensiangan secara evolusi mula menikmati kemudahan asas yang walaupun tidak sesempurna masyarakat di bandar dan pinggir bandar, beliau berbangga apabila semakin ramai anggota masyarakat menikmati kemajuan.

Nabawan, pekan kecil di Pedalaman Atas dalam Parlimen Pensiangan adalah kawasan yang dimajukan sejak 1963. Ketika itu, kerajaan menyediakan kawasan seluas 16,704 hektar yang dikenali sebagai tanah skim bagi penempatan penduduk dari kawasan sempadan Sabah-Kalimantan.

Mereka dipindahkan berikutan konfrontasi ditimbulkan Indonesia pada 1963. Penduduk dari pelbagai kampung di sempadan Sabah-Kalimantan seperti Pensiangan, Pegalungan, Kabu, Bantul dan Saliliran terpaksa ditempatkan di tanah skim untuk membolehkan mereka memperoleh tempat tinggal, selain kawasan bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing.
Mengenai kemudahan jalan raya, Bobbey mengakui banyak kawasan belum mempunyai kemudahan itu tetapi beliau mahu rakyat memahami bahawa bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed ketika mengadakan lawatan kerjanya ke Parlimen Pensiangan, sudah berjanji membina jalan raya sepanjang 30 kilometer (km) dari pekan kecil Sepulot ke Pegalungan.

“Saya akan membuat tindakan susulan dengan kementerian itu kerana sejak ia diumumkan hujung tahun lalu, nampaknya belum ada kemajuan. Sekarang, penduduk terpaksa bergantung kepada pengangkutan air kerana sejak laluan balak ditinggalkan pada 1994, tiada jalan menghubungkan pekan kecil Sepulot dengan mukim Pegalungan dan Pensiangan,” katanya.

Bagi mukim Pamuntarian, kerajaan akan membina jalan raya dari persimpangan masuk ke Kampung Pamuntarian ke Mesopoh kira-kira lapan km.

Bobbey berkata, pembinaan jalan berkenaan penting bagi membolehkan pekan Sepulot dimajukan sebagai pekan penghubung Nabawan – Kalabakan berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan tidak berturap itu untuk ke Tawau atau Sandakan.

“Hanya 30 peratus daripada keseluruhan DUN Nabawan menerima bekalan elektrik. Oleh itu, pejabat saya menyediakan generator untuk penduduk menikmati kemudahan berkenaan.

“Begitu juga dengan bekalan air. Loji sedia ada di Sungai Penawan tidak mampu menampung peningkatan permintaan dan saya terpaksa meminta penduduk mengambil air graviti (air yang diambil dari bukit).

“Oleh itu, penduduk terpaksa bersabar sementara menunggu loji air di Sungai Mesopol bernilai RM24 juta siap,” katanya.

Bagi membantu penduduk meningkatkan sosio-ekonomi, Bobbey memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan perladangan berikutan prospeknya yang cerah.

Katanya, lebih 80 peratus penduduk di kawasan itu adalah petani yang mempunyai kebun getah dan kelapa sawit.

Setiap tahun, beliau membelanjakan RM150,000 membeli benih pokok getah untuk diedar secara percuma kepada penduduk kampung., sejajar matlamat mahu mereka memiliki sekurang-kurangnya dua hektar getah.

“Ini bagi membolehkan kerajaan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan dan kemiskinan tegar kerana penduduk yang mempunyai kebun getah itu mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan,” katanya.

Atas keprihatinannya terhadap Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT), Bobbey membantu usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah membawa projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) ke Labang, dekat Nabawan.

Melalui program berkenaan, 50 KIRMT diberikan peluang memiliki dan mengusahakan empat hektar kebun getah.

Bagi merancakkan kemajuan dalam sektor pertanian dan penternakan, beliau mencadangkan tanah seluas 2,400 hektar di mukim Pegalungan dijadikan kawasan berpotensi dimajukan dengan projek Agropolitan, iaitu projek pembangunan bandar dalam kawasan pertanian.

“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenal pasti tanaman sesuai untuk dimajukan di kawasan itu. Saya mahu melihat masyarakat Pegalungan menikmati peningkatan sosioekonomi dan sosial hasil daripada projek Agropolitan,” katanya.

Beliau turut memperuntukkan RM50,000 membeli benih kayu gaharu untuk diagih kepada anggota masyarakat. Dalam tempoh tujuh tahun akan datang, mereka bakal menikmati keuntungan apabila gaharu berkenaan mengeluarkan hasil.

Mengenai kemajuan fizikal, masyarakat di DUN Nabawan kini menikmati kemudahan Perpustakaan Daerah bernilai RM1.5 juta yang disiapkan baru-baru ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga sudah meluluskan peruntukan RM25 juta bagi membina Klinik Kesihatan Kelas 4 di pekan Nabawan. Ia bakal menyediakan wad, jabatan x-ray dan wad kecemasan berbanding pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Keningau seperti sekarang.

Bobbey yang berpandangan luas mengenai aspek masa depan, sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri supaya membina pekan baru Nabawan di kawasan berhampiran jalan utama Nabawan-Sepulot, berikutan jangkaan pekan kecil Sepulot akan meningkat maju sejajar fungsinya sebagai penghubung laluan Sepulot-Kalabakan.

Rumusannya, Bobbey anak jati Murut di Pensiangan tidak akan membiarkan anggota masyarakat di luar bandar terus ketinggalan dari aspek pembangunan fizikal, sosio-ekonomi, politik dan sosial. Mereka akan terus dimajukan sejajar konsep pembangunan menyeluruh untuk setiap rakyat yang didukung oleh Barisan Nasional (BN).

PROFIL: Datuk Bobbey Suan

Tarikh lahir: 9 September 1954
Asal: Kampung Tampanon, Pensiangan
Isteri: Datin Barbara Edward
Anak: 2 orang (masing-masing lelaki berusia 31 tahun dan perempuan berusia 20 tahun)
Jawatan dalam parti: Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)

Latar belakang politik: Menjadi calon Umno bagi merebut kerusi DUN Kemabong pada 1994 berehat daripada arena politik antara 2000 hingga 2004 menjadi calon Upko bagi merebut kerusi DUN Nabawan pada pilihan raya umum 2004.

Bornian Timber pulihara alam semula jadi


Pokok ditebang tidak dibakar, dibiar reput secara evolusi

SOOK: Tiada sebatang pokok pun dibakar, sebaliknya semua pokok yang ditebang atau ditumbangkan menggunakan jentera dibiar reput secara evolusi.

Penebangan pokok dan pembersihan kawasan untuk perladangan kini bukan lagi mengikut kaedah pembakaran terbuka yang mencemar udara, malah menyebabkan kemusnahan sumber semula jadi yang boleh memusnahkan hutan jika tidak dikawal.

Kaedah pembersihan hutan berkenaan dipraktikkan Bornian Timber Sdn Bhd (Bornian Timber), iaitu syarikat berasaskan pembalakan sekitar 1970-an hingga pertengahan 1990-an.

Peralihan tumpuan daripada syarikat yang berfungsi menebang balak untuk dijadikan kayu bergergaji dan papan untuk pasaran domestik dan antarabangsa kepada syarikat perladangan getah, mendorong syarikat berkenaan mengaplikasikan Unit Pengurusan Hutan (FMU) menerusi Pengurusan Hutan Secara Mapan (SFM) lebih sempurna.

Ia bukan setakat mematuhi peraturan penebangan pokok mengikut FMU dan SFM demi pemeliharaan alam sekitar, malah menjamin kelangsungan sumber perhutanan berkekalan bagi tempoh 100 tahun akan datang.

Ketika meninjau kaedah pembersihan di kawasan seluas 3,500 hektar milik Bornian Timber di Hutan Simpan Ulu Sungai Miliam, dekat sini baru-baru ini, Berita Harian diberitahu kaedah itu adalah sebahagian daripada FMU dan SFM ditetapkan Jabatan Perhutanan Sabah.

Pengurus Operasi Bornian Timber, Philip HC Ho, berkata mengikut syarat itu, syarikat yang diberi konsesi pengekalan kawasan perhutanan selama 100 tahun diwajibkan tidak membakar pokok ditebang atau ditumbangkan bagi membolehkan kawasan berkenaan ditanam semula dengan pokok balak.

Kawasan seluas 3,500 hektar itu sudah dimajukan secara berperingkat sejak 2005. Ia adalah sebahagian daripada keseluruhan kawasan 25,000 hektar yang bakal dimajukan dengan penanaman getah melalui usaha sama Bornian Timber dengan syarikat berpangkalan di Guangdong, China – Kumpulan Guangken Rubber (GJR) dalam tempoh lapan tahun lagi.

“Jika dulu kebanyakan syarikat pembalakan dan petani nomad membakar pokok ditebang, sekarang tidak lagi. Setiap konsesi pembalakan harus dikekalkan melalui empat kaedah, iaitu Perlindungan Konservasi, Kawasan Pengurusan Hutan Asli, Kawasan Perladangan Pokok Industri (ITPA) dan Perhutanan Komuniti.

“Bagi kawasan seluas 25,000 hektar itu, kami akan mengekalkan kawasan perhutanan melalui kaedah ITPA. Kami memilih memajukannya dengan tanaman getah kerana pokok getah juga adalah pokok balak yang mampu menjana pendapatan dalam tempoh 25 tahun akan datang.

“Kami memajukan kawasan seluas 13,000 hektar manakala rakan kongsi kami, Guangken memajukan baki 12,000 hektar. Semua kaedah penebangan pokok dan pengekalan pokok adalah mengikut perjanjian FMU dan SFM yang kami tandatangani dengan Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.

Ho berkata, meskipun pokok yang ditebang itu tidak bernilai dari aspek komersial, ia tidak boleh dibakar begitu saja kerana bakal mendedahkan syarikat berkenaan kepada tindakan undang-undang Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS).

Beliau berkata, Bornian Timber mula mengemukakan cadangan FMU dan SFM kepada Jabatan Perhutanan Sabah sejak 2004. Selain pokok getah, syarikat itu juga ada menanam pokok acasia yang berfungsi sebagai bahan utama untuk menghasilkan kertas.

Pada 2007, selepas meninjau kawasan yang bakal dimajukan, pegawai Jabatan Perhutanan Sabah memberi kebenaran kepada Bornian Timber untuk melaksanakan kerja pembersihan kawasan untuk ditanam dengan getah.

Penghuni rumah panjang Kg Salarom Taka turut sambut Hari Kemerdekaan

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan yang disambut dengan sederhana pada tahun ini kerana menghormati bulan Ramadan tidak lari pada konsep menghayati erti kemerdekaan dan menghargai jasa pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan kemerdekaan.

Hari kemerdekaan yang disambut di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri dan seterusnya di peringkat daerah membuktikan detik kemedekaan masih segar dalam ingatan masyarakat pelbagai kaum di negara yang merdeka ini.

Malahan ia turut disambut diperingkat kampung-kampung terpencil di Sabah terutama di kawasan pedalaman.

Demikianlah halnya dengan penghuni rumah panjang Kg. Salarom Taka yang tidak ketinggalan menyambut Hari Kemerdekaan dengan cara sedarhana tetapi penuh bermakna kerana dapat membangkitkan semangat cintakan negara di kalangan penduduk kampung itu.

Menurut Pengerusi Majlis Desa Kg. Salarom Taka, Anthony Amin, penduduk kampung yang terpencil itu mengadakan sambutan pada setiap tahun.

Namun pada tahun ini suasana bertambah meriah walaupun ia disambut sederhana kerana menghormati bulan Ramadan.

Katanya, pada tahun ini selain diserikan dengan kibaran jalur gemilang dan bendera negeri, suasana bertambah meriah dengan pertandingan keceriaan halaman rumah panjang sebagai satu pengisian sambutan Hari Kemerdekaan.

Dalam pertandingan ini dua lot digabung menjadi satu kumpulan dalam pertandingan itu yang mana masing-masing menghias bahagian hadapan rumah panjang dengan pelbagai bunga dan perhiasan berbentuk kraftangan yang menghiasi halaman rumah panjang.

Inilah suasana yang amat menarik di rumah panjang Kg. Salarom Taka sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Hadiah dalam pertandingan itu disumbangkan oleh Datin Aisah Hj. Azlan isteri kepada Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin.

Johan dalam pertandingan itu disandang oleh lot 19 dan 20 yang diberi nama Selangit milik keluarga Sangau Ompohol dan Ansabung Endim.

Sementara tempat kedua disandang oleh lot 5 dan 6 (Sumintobol) milik keluarga Lumiros Tawau dan Taihing Anginsu.

Manakala tempat ketiga jatuh kepada lot 17 dan 18 (Sambulata) milik keluarga Rami Ompohol dan Samaan Ompohol.

Johan dalam pertandingan itu menerima sebuah piala pusingan yang diberi nama Piala Datin Aisah, sebuah piala iringan, wang tunai dan hamper. Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima piala, wang tunai dan hamper.

Sambutan Hari kemerdekaan peringkat Kg. Salarom Taka itu turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik yang berkaitan dengan kemerdekaan yang dipersembahkan oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom dan belia kampung itu.

Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan itu majlis berbuka puasa turut diadakan yang dihadiri oleh Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Ahuar Rasam; Naib Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Wahanin Ismail; mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Ulin Datuk Pamiang; Ketua Wanita Umno Pensiangan, Zaiton OKK Anik; Naib Ketua Wanita Umno Keningau, Rainah Juanis; barisan AJK Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pensiangan.

Selepas majlis berbuka puasa, Ghani dan semua umat Islam yang hadir menunai solat Tarawih.

Anggota Rela amat penting kepada negara, kata Elron

KENINGAU: Anggota Rela amat penting kepada negara, kata Pembantu Menteri Pelancongan Negeri Sabah Datuk Elron Alfred Angin.

Jesteru beliau menasihatkan anggota pasukan itu di negeri ini supaya proaktif, dan sentiasa memperkasakan penguasaan ilmu.

“Kita mahu anggota Rela yang berilmu, seiring dengan tuntutan Alab Baru,” katannya ketika berucap di Majlis Penyampaian Kad Perlantikan dan Pemakaian Pangkat kepada seramai 105 orang anggota pasukan itu di Sook.

Daripada jumlah itu seorang dinaikkan pangkat Kapten sekaligus dilantik sebagai Ketua Perhubungan Rela Mukim (KPRM), tiga orang dinaikkan pangkat sebagai Lefternan dan 2 orang Lefternan Muda.

Teks ucapan Elron disampaikan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook Charles Ekang.

Elron berkata, sumbangan anggota Rela di Negara ini amat mustahak dan diperlukan sebagai barisan ketiga, dalam susunan menjaga keamanan di Negara ini.

“Jangan ada yang memperlekeh sumbangan mereka,” jelasnnya.

Pembantu menteri itu mahu agar anggota pasukan itu sentiasa aktif, dan memainkan peranan mereka sebagai mata dan telinga kerajaan.

Terdahulu Elron mengumumkan peruntukan khas melalui peruntukan Adun Sook, untuk membiayai pembelian pakaian sergam kepada anggota-anggota itu di kawasan Sook.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan Ahuar Rasam, yang turut meletakkan harapan agar anggota pasukan itu berkesan kepada tanggungjawab mereka.

Ahuar juga mahu agar semua pihak menghormati pasukan itu sebagai barisan penting dalam institusi keselamatan negara.

Tindakan terhadap kontraktor

Oleh Sitti Nor Azizah Talatautusansabah@utusan.com.my


Projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Luagan, di daerah Keningau yang terbengkalai.

KENINGAU 23 Ogos – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan di sini dengan kos RM7.8 juta.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Rayner F. Udong berkata, bangunan tambahan itu yang kini menjadi projek gajah putih sudah tiga bulan terbengkalai.

“Tidak seorang pun pekerja berada di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu. Justeru, kami minta kerajaan mengambil serius perkara ini kerana bangunan sekolah sedia ada telah uzur dan sesak.

“Pembinaan bangunan tambahan itu baru siap 10 peratus dan ternyata, kerja-kerja terbengkalai ini amat memalukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai ibu bapa yang melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan perkembangan tersebut sedangkan sekolah berkenaan hanya tiga kilometer dari pekan Keningau.

“Ini amat menyedihkan kerana projek-projek seangkatan dengan SK Luagan contohnya SMK Keningau II dan SMK Apin-Apin telah pun siap dan boleh digunakan tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau berkata, masalah tersebut perlu diatasi segera dan dicari punca utama mengapa kontraktor sedia ada tidak lagi meneruskan kerja-kerja pembinaan di sekolah itu.

Menurutnya, usaha wakil rakyat di situ untuk mendapatkan kemudahan yang lebih selesa tidak perlu disia-siakan kerana bukan mudah untuk satu-satu peruntukan diluluskan.

Katanya, bukan sahaja sekolah tersebut amat memerlukan bangunan tambahan atau sekolah baru tetapi juga di sekolah lain di daerah ini.

Selain bangunan baru berikutan pertambahan murid, kata Rayner, keperluan bangunan tambahan seperti blok asrama, pusat pentadbiran, dewan dan makmal juga perlu dibina.

Nabawan, Tenom alami kekurangan rumah guru

NABAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan meminta Kementerian Pelajaran supaya masalah kekurangan rumah guru di daerah ini diatasi untuk memberi keselesaan kepada guru-guru yang bertugas di beberapa buah sekolah di daerah ini.

Katanya, beberapa sekolah termasuk sekolah menengah di daerah ini mengalami masalah kekurangan guru menyebabkan ada di kalangan guru-guru yang bertugas di kawasan ini terpaksa berulang alik dari Keningau ke sekolah tempat bertugas.

Bobbey yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, ini disebabkan daerah Nabawan tidak mempunyai rumah sewa yang cukup.

Keadaan ini katanya, me- nimbulkan masalah kepada guru-guru yang bertugas di beberapa buah sekolah di daerah ini.

“Selain itu terdapat juga guru-guru di sekolah terpencil yang tinggal di rumah yang tidak selesa,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di sini minggu lepas.

Justeru itu, katanya, masalah yang dihadapi oleh guru-guru di kawasan Pedalaman perlu diatasi bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Mengenai dengan pemberian insentif kepada pengetua dan guru besar bagi memberi galakan kepada mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan Bobbey mengalu- alukan insentif itu untuk kebaikan pembangunan pendidikan.

Walau bagaimanapun katanya, mereka yang bakal mendapat insentif itu haruslah menjalankan tugas setimpal dengan apa yang mereka terima.

Bobbey berkata, guru-guru yang bertugas di sekolah terpencil sememangnya sudah diberi insentif khas.

Beliau berkata, sebarang pemberian insentif kepada guru-guru yang bertugas di sekolah-sekolah terpencil di kawasan Pedalaman khusus dialu-alukan.

Ini katanya, selain sanggup bertugas di sekolah terpencil, mereka juga menghadapi pelbagai masalah kerana dalam perjalanan sama ada perjalanan darat dan sungai.

Selain daerah Nabawan, daerah Tenom juga turut mengalami masalah kekurangan rumah guru.

Berita Dari Pedalaman SabahBerita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambuna

NABAWAN: Kerajaan memandang serius pembangunan dan peningkatan pendidikan kepada masyarakat luar bandar untuk merealisasikan impian gagasan Perdana Menteri 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey Suan, berkata pembangunan pendidikan yang lebih mapan juga menjadi landasan untuk mencapai wawasan 2020.

Rakyat keseluruhannya pada ketika itu nanti akan menikmati pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek dan tidak ada lagi jurang perbezaan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan berkata demikian semasa berucap di majlis penangguhan program kecemerlangan pendidikan peringkat daerah yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PKNS) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah yang dikelolakan oleh Dynamic Training Development di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan di sini, pada Ahad.

Bobbey berkata, dengan berlakunya perubahan pada dasar pendidikan negara maka wujudnya program lonjakan pendidikan luar bandar dan ini salah satu cara kerajaan memartabat dan memberi keutamaan pendidikan di kalangan masyarakat luar bandar untuk persaingan pada zaman globalisasi kini.

“Ilmu amat penting dalam kehidupan dan hanya dengan ilmu serta pengetahuan kita dapat memahami gagasan Negara,” katanya.

Justeru itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pelajaran amat penting untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pelajar perlu bertindak proaktif, dedikasi, berdisiplin dan efektif untuk menjadi insan yang lebih berkualiti,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Bobbey turut menyarankan para ibu bapa dan masyarakat yang belum berdaftar dengan e-Kasih supaya bertindak cepat mendaftar agar segala saluran bantuan dari kerajaan dapat dilaksanakan dengan pengenalan data melalui kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, katanya.
Seramai 150 orang pelajar dari tiga buah sekolah Menengah iaitu SMK Nabawan, SMK Nabawan 2 dan SMK Sepulot mengikuti program yang berlangsung selama tiga hari itu.

Hadir sama Pegawai pelajaran Daerah, Osman Aganduk; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Nabawan, Jubilin Kilan; Pengetua SMK Nabawan II, Mike Eping dan Pengurus Dynamic Trainning Development, Irene George.

Rumah terbakar: Empat sekeluarga nyaris rentung

Nyaris rentung

17th August, 2009 NABAWAN: Empat sekeluarga nyaris rentung apabila rumah mereka terbakar pada kira-kira jam 3 pagi di Kg. Labang sepulut kira-kira 80 kilometer dari sini pada Jumaat lepas.

Mujurlah kepantasan bapa muda menyelamatkan dua anaknya masing-masing berumur tujuh dan lima tahun di samping isterinya yang sempat menyelamatkan diri.

Bapa kepada dua anak itu Naulin Sisiop 26, memberitahu, beliau menyedari kebakaran itu setelah api sudah merebak hampir bilik tidur mereka.

“Kerana memberi keutamaan kepada nyawa, saya hanya dapat membawa dua anak saya bersama isteri keluar dari rumah yang sudah separuh terbakar,” kata Naulin ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, semua harta benda termasuk barang-barang kemas dan dokumen-dokumen penting tidak dapat diselamatkan.

Akibat kebakaran itu Naulin menganggarkan kerugian membabitkan kos rumah dan harta benda lebih kurang RM30,000.00 tidak termasuk anggaran padi sebanyak 20 karung yang turut musnah dalam kebakaran itu.

Naulin tidak menolak punca kebakaran itu dari bahagian dapur kayu api yang mereka gunakan berpanjangan sehingga tengah malam kerana memasak ubi kayu untuk dibuat tapai sebagai satu persiapan majlis tradisi ahli keluarga sebelum kebakaran itu berlaku.

Namun Naulin bersyukur kepada Tuhan kerana menyelamatkan mereka dalam kebakaran itu.
“Walaupun kami tinggal sehelai sepinggang dan kehilangan segala-galanya tetapi saya bersyukur kerana kebakaran yang berlaku pada waktu subuh itu tidak membabitkan kemalangan jiwa,” jelas Naulin yang kelihatan tenang.

Berikutan kebakaran itu Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin memberi sumbangan berbentuk barang-barang keperluan dapur dan barang makan serta wang tunai.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalannya Ahuar Rasam yang meninjau kebakaran itu pada Sabtu.

Turut sama meninjau kebaran itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) kawasan Nabawan Barahim Andipoh dan beberapa AJK Umno Bahagian Pensiangan. Rumah papan yang musnah dan ranap sama sekali dalam kebakaran itu berukuran 30’X40’.

Balai bomba perlu dibina di Nabawan


marcus Mojigoh (kiri) menerima surat memorandum lesen Kelas F daripada wakil syarikat Kharsani Welder Technology & Services (KWTS) semasa mengadakan lawatan di Putatan, semalam.

NABAWAN 20 Ogos – Kerajaan diminta mewujudkan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di daerah ini bagi meningkatkan tahap pengawalan kebakaran sekali gus menyelamatkan harta benda dan nyawa penduduk di sini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membina sebuah balai bomba di daerah itu.

“Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di daerah ini penting bagi membolehkan pengawalan kebakaran dapat dijalankan dengan cepat.

“Jadi saya berharap agar sebuah Balai Bomba dan Penyelamat dibina di daerah ini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan datang jika ia tidak tersenarai dalam RMK-9,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan pakaian dan jentera pasukan Bomba Sukarela Daerah Nabawan di perkarangan bangunan Majlis Daerah Nabawan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Penguasa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sabah, Ariffin Haris; Pegawai Daerah Nabawan, Bubudan Majalu dan Pemangku Penguasa Bomba Dan Penyelamat Bahagian Keningau, Mausi Sitim.

Pada majlis itu Bobbey turut menyumbangkan sebanyak RM2,000 kepada pasukan Bomba Sukarela Daerah Nabawan.

Menurut beliau, pada masa ini kes kebakaran di daerah ini hanya bergantung kepada balai bomba daerah Keningau yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Nabawan menyebabkan terdapat kelewatan dalam mengawal kebakaran.

Sementara itu, beliau berharap ahli-ahli Bomba Sukarela di daerah ini dapat menggunakan peralatan yang dibekalkan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan latihan yang diberikan.

Selain itu, katanya, beliau juga berharap bomba sukarela di daerah ini sentiasa aktif dan menambah lebih ramai keahlian.

“Sehubungan itu, saya meminta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini menguar-uarkan kepada kakitangan masing-masing agar mereka menyertai Bomba Sukarela,” katanya.

Priority should be given to KDM parties: Kurup

Keningau: The Kadazandusun-Murut (KDM) parties under Barisan Nasional (BN) should be given priority to contest in any new constituency that may be created in any of the existing KDM-dominated constituencies under the on-going Election Commission (EC) re-delineation exercise in Sabah.

Deputy Natural Resources and Environment Minister Tan Sri Joseph Kurup, who is also PBRS President, also hoped the KDM communities would remain united and give their full support to the KDM-based parties which have been fighting for their interests.

He claimed non-KDM-based parties in the BN had demanded representation in any new constituency that may be created in the Interior under the re-delineation exercise.

He described this as “not a good action by our colleagues and kind of an attempt to marginalise.”
Kurup, who is Pensiangan MP, was speaking at a leader-meet-the-people session at Kampung Merapok, here.

Assistant Tourism, Culture and Environment Minister and Sook Assemblyman Datuk Ellron Angin, PBRS Youth chief Vincent Lee and Sook PKR Charles Ikang were among those present.

Kurup said under the new electoral boundary plans, the Mukim Trans Pegalan in Sook state constituency is expected to be involved and may be named as a new constituency in the future.

He advised the people to be careful about leaders who would only make use of them to chase for power but would not do anything to fight and protect their rights on certain matters.

Stor baja, racun akan dibina bantu kurangkan kos petani

NABAWAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan akan membina lebih banyak stor baja dan racun di mukim bagi memudahkan petani mendapatkan bekalan, berbanding terpaksa mendapatkannya di Pejabat PPK di pekan ini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata usaha berkenaan bakal menjimatkan masa dan kos pengangkutan petani, sekali gus membantu mereka menjalankan tugas dengan cepat dan berkesan.

“Sebagai permulaan, PPK akan menyediakan stor di Kampung Lanas, Kampung Karanan dan Kampung Malima,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PPK Nabawan Ke- 3, di Dewan Masyarakat, di sini semalam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Nabawan, Aloysius Anthony; wakil Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah, Samiseh Hasan dan Pengurus Besar PPK Nabawan, Yahya Harris.

Abdul Ghani turut menyampaikan sijil kepada Mohd Jimin Abdullah yang muncul sebagai ahli PPK yang paling banyak melanggan input pertanian dan jentera kecil pertanian kepada Ketua Unit Pertubuhan Peladang Binuow, Suhaimi Kasiman.

Abdul Ghani berkata, penyediaan stor berkenaan juga mampu memastikan bekalan baja dan racun sampai kepada petani secara lebih berkesan.

Beliau berkata, 1,400 petani yang mengusahakan 1,400 hektar sawah di daerah ini dan Sook bakal turut memperoleh manfaat daripada penyediaan stor berkenaan.

Katanya, PPK juga menyediakan perkhidmatan penghantaran baja dan racun subsidi ke setiap stor dan unit PPK di kampung bagi mengurangkan kos petani.

“Kerajaan melantik PPK sebagai agen untuk membekalkan jentera melalui skim pemilikan jentera kecil pertanian bagi memastikan ahli PPK mempunyai kemudahan untuk mengusahakan kebun dan ladang masing-masing.

“Petani yang menjadi ahli PPK boleh memohon membeli jentera bernilai RM10,000 ke bawah secara individu dan RM20,000 ke bawah secara kumpulan. Pembiayaan sebanyak 50 peratus akan ditanggung kerajaan melalui LPP manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh petani,” katanya.

Beliau berkata, PPK Nabawan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada petani sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Usahasama Safoda, LKTNS majukan pertanian di Sook

KOTA KINABALU 7 Ogos – Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (Safoda) dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengusahakan kawasan di Sook untuk pembangunan pertanian.

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi LKTNS, Datuk Sapawi Ahmad dan Pengerusi Safoda, Datuk Masrani Parman dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Safoda, Tan Sri Ibrahim Menudin dan Pengurus Besar LKTNS Jhuvarri.

Jhuvarri ketika memberi taklimat berkata, projek pembangunan tanah milik Safoda itu bakal mencetus pembangunan fizikal dan ekonomi di samping memberi peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 500 orang dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, antara objektif usahasama pembangunan ladang sawit antara LKTNS dan Safoda ialah sebagai pemangkin utama pembangunan industri sawit di pendalaman Sabah.

Katanya, dalam tempoh masa lima tahun projek tersebut berjalan, pelbagai kemudahan awam akan turut dibina seperti sekolah, hospital dan segala macam kemudahan lain.

”Usahasama ini mewujudkan sebuah kawasan pertumbuhan ekonomi luar bandar yang akan meningkat taraf hidup penduduk di situ dan kawasan berhampiran.

“Ini sekali gus membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat setempat melalui pengwujudan pekerjaan dan mengaktifkan aktiviti sosio ekonomi,” katanya.

Kampung tersusun diwujud di lembah Terus Madi

KENINGAU: Sebuah perkampungan tersusun diwujudkan di kawasan lembah Terus Madi, melibatkan jumlah penduduk seramai 351 orang.

Kampung tersusun yang buat pertama kali diwujudkan di daerah Keningau itu, diurustadbir oleh Koperasi Terusmadi Keningau Berhad (Ko-Terusmadi).

Pengurus Ko-Terusmadi, Johnny Ongkoroi memberitahu dalam satu kenyataan, kampung tersusun itu merupakan yang pertama seumpamanya ditubuhkan di daerah Keningau.

Katanya, Ko-Terusmadi telah pun mengemukakan permohonan tanah seluas 3,000 ekar kepada kerajaan negeri untuk diusahakan penanaman kelapa sawit.

“Seluas 350 ekar daripada tanah itu akan dibangunkan untuk kawasan kampung tersusun, melibatkan pembinaan rumah penduduk, bangunan sekolah, klinik serta kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Selebih daripada itu katanya, akan diusahakan untuk penanaman kelapa sawit melalui usahasama dengan agensi-agensi kerajaan.

Menjawab satu soalan, Johnny berkata, kampung tersusun itu diwujudkan dengan rekabentuk ‘berpusat’ yang akan memudahkan kerajaan, untuk menyalurkan pembangunan kepada penduduk yang tinggal di pelusuk pedalaman.

Lembah Terus Madi melibatkan beberapa buah kampung terpencil di daerah Keningau, yang antara lainnya Kampung Sinua yang sinonim sebagai penduduk persisiran Gunung Terusmadi yang masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek pembangunan.

Aktiviti harian penduduk yang tinggal di kawasan itu ialah pertanian kecil-kecilan, yang tidak menjanjikan pulangan masa depan kepada masyarakat di kawasan terpencil itu.

Johnny berkata, Ko-Terusmadi merupakan penjana pembangunan kepada penduduk di situ, apabila perancangan meneroka seluas 3,000 ekar di kawasan itu menjadi realiti.

Beliau mahu penduduk yang terlibat di kawasan itu agar bersatu untuk memastikan perancangan tersebut menjadi kenyataan.

Kerusi DUN di kawasan pedalaman sudah dicadang ditambah, kata Sairin

KENINGAU: Ketua Umno Bahagian Keningau Datuk Haji Sairin Haji Karno berkata, pewujudan kawasan baru pilihan raya di kawasan pedalaman telah dirangka bagi memberi ruang kepada Umno mendapat kuota sekurang-kurangnya satu kerusi dalam satu kawasan Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Bagi kawasan Parlimen Keningau yang kini mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Liawan, DUN Bingkor dan DUN Tambunan akan dipecahkan kepada dua kawasan Parlimen.

“Kita telah mencadangkan Parlimen Keningau kekal dan mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Liawan, Bingkor dan Apin-Apin,” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Keningau di dewan masyarakat di sini pada Sabtu.

Hadir sama di majlis perasmian gabungan tiga pergerakan Umno Bahagian itu Ketua Pergerakan Wanita Umno Keningau, Amelia Ajun; Ketua Pergerakan Pemuda yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Hj. Ruslan dan Ketua Puteri, Junaidah Sapli.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Pensiangan Zaiton OKK Anik, Ketua Pemuda Umno Kudat Sharif Sahar Sharif Andeng dan Ketua Puteri Umno Pensiangan Norhafizah Muhamin masing-masing menjadi pemerhati dari Umno Negeri ketiga-ketiga pergerakan itu.

Sairin yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Liawan berkata, kawasan DUN Tambunan dicadang menjadi kawasan Parlimen Tambunan dan dua kawasan DUN telah dicadang.

Katanya, pengwujudan kawasan baru DUN di kawasan Parlimen Pensiangan juga telah dicadang.
“Jika cadangan itu diluluskankan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) maka kawasan Parlimen Pensiangan akan mempunyai satu lagi kawasan DUN baru yang dicadang iaitu DUN Pegalan dan mengekalkan dua kawasan DUN sedia ada iaitu Sook dan Nabawan” katanya.

Beliau berkata, apabila DUN baru itu diwujudkan nanti, Umno Pensiangan boleh mendapat kouta kerusi pada pilihanraya akan datang.

Tambahnya, pengwujudan kawasan baru sama ada Parlimen dan DUN dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya penting bagi membolehkan Umno yang menjadi tukang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat sekurang-kurangnya satu kerusi bagi satu kawasan Parlimen.

Pada masa ini katanya, Parlimen Pensiangan mempunyai dua kawasan DUN iaitu Sook dan Nabawan di kerusi Parlimennya diberikan kepada diberikan kepada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan kerusi DUN Sook juga milik PBRS manakala DUN Nabawan diberikan kepada UPKO.

Sairin yakin jika satu lagi kawasan DUN diwujudkan di kawasan Parlimen ini ia boleh diberikan kepada Umno.

“Begitu juga jika kawasan Parlimen Tambunan dapat diwujudkan mungkin Umno boleh memiliki salah satu daripada kerusi DUN yang bakal diwujudkan,” kata Sairin.

Dalam masa yang sama Ketua Umno Bahagian Keningau itu mengingatkan ketiga-ktiga pergerakan Umno Bahagian itu agar terus mendukung kepimpinan Umno Pusat di bawah pimpinan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Umno Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Dan yang lebih penting katanya, ketiga-ketiga pergerakan parti ini perlu turun padang mendekati ahli masing-masing diperingkat cawangan dan masyarakat keseluruhannya bagi merealisasikan gagasan Perdana Menteri 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutama.

Sairin dalam ucapan turut meminta agar peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikekalkan.

Katanya, UPSR wajar dikekalkan kerana ia masih releven bagi mengukur pencapaian murid sekolah rendah sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Sementera itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Keningau Azman Hj. Ruslan yang mewakili ketiga-ketiga pergerakan itu berkata, asas perjuangan Umno sebenarnya adalah membela nasib rakyat.

Katanya, rakyat diperingkat akar umbi mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada pemimpin-pemimpin atasan.

Justeru itu katanya, pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat perlu mendekati rakyat dan menyelami jiwa mereka yang selama ini mengharapkan pembelaan bagi membolehkan BN terus mengekalkan kuasa pada pilihanraya ke 13 akan datang.

Azman yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah dalam ucapannya berharap Umno Sabah kekal sebagai simpanan tetap Umno.

Katanya, kecemerlangan Umno di negeri ini dapat dikekalkan jika pemimpin-pemimpin terus mendekati ahli-ahli di peringkat akar umbi dan memenuhi kehendak mereka.

Dalam hal ini katanya, ketiga-tiga pergerakan dalam parti perlu memainkan perana masing-masing memastikan ahli-ahli terus releven dalam jiwa mereka.

Beliau berkata, terdapat ahli parti menganggap Umno tidak lagi releven kerana mereka merasa terabai dan dipinggirkan. “Mereka inilah yang perlu didekati agar Umno kembali releven dalam jiwa mereka.” kata Azman.

Teachers also lepak: Kurup

Keningau: Natural Resources and Environment Deputy Minister Tan Sri Joseph Kurup is disappointed there were still complaints about government staff, including teachers, being absent from their workplace.

He said this would create a big problem especially for those who came from distant villages.
“I have received complaints from the public who went to government offices to seek for help but were told the boss was not in.

“I urge those who encounter such matters to come and report to me,” he said, adding there were parents who were also upset that the teachers are not around when they sent their children to school.

Meanwhile, Kurup lamented that nothing has been done about the rampant illegal lottery activities, and the sale of contraband cigarettes and beverages here.

Basmi kemiskinan 73 keluarga

Oleh SAPURAH LIYUNANutusansabah@utusan.com.my



penduduk di kawasan hutan simpan Kampung Salarom di mukim Sepulut, Nabawan ini juga akan dipindahkan ke Kampung Salarom Taka yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan bekalan elektrik serta air.

NABAWAN 17 Julai – Walaupun berat untuk meninggalkan kampung halaman yang telah diwarisi sejak generasi terdahulu, atas prinsip menghormati dasar kerajaan, sebanyak 73 keluarga yang sebelum ini tinggal di kawasan hutan simpan bersetuju pindah ke kawasan penempatan baru.

Langkah berani 73 keluarga berkenaan bukan sahaja didorong oleh rasa hormat terhadap peraturan tetapi turut dipengaruhi pertimbangan mengenai nasib anak-anak mereka jika terus tinggal dalam serba kekurangan.

Keputusan itu ternyata berbaloi apabila mereka yang bersetuju berpindah ke kawasan penempatan baru di Kampung Salarom Taka di sini akan mendapat sebuah rumah baru tiga bilik yang dilengkapi segala kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air.

Rumah tersebut akan menggantikan rumah panjang yang dibina sementara oleh kerajaan bagi menempatkan penduduk Kampung Salarom, Lelimpi, Malilia dan Kubu dalam mukim Sepulut yang bersetuju keluar dari hutan simpan negeri di sekitar daerah ini.

Perpindahan itu adalah selari dengan dasar perhutanan negeri yang tidak membenarkan penduduk tinggal dalam kawasan hutan simpan berkenaan.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan negeri telah melancarkan program penyusunan semula masyarakat yang masih tinggal dalam kawasan hutan simpan dikenali Projek Perhutanan Masyarakat (PPM).

PPM dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Sabah menerusi peruntukan yang diperoleh daripada tabung hasil perhutanan negeri.

Lebih RM4.8 juta disediakan untuk melaksanakan PPM Kampung Salarom Taka di kawasan seluas 40 hektar.

Sementara itu Ketua Kampung Salarom Taka, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kehidupan penduduk di sini aman walaupun perlu mengambil masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Katanya, walaupun kehidupan tidak sama seperti dahulu tetapi beliau percaya manfaat yang akan diperoleh selepas ini lebih besar.

”Bagi saya ini satu pengorbanan untuk masa depan generasi baru di kampung saya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan, pembinaan 73 rumah baru itu kerana ia dapat mengatasi masalah kesesakan di rumah panjang berkenaan.

Katanya, walaupun rumah panjang itu dibina dengan selesa tetapi ia tidak dapat menampung bilangan keluarga sehingga menyebabkan dalam satu lot rumah panjang itu terdapat dua hingga empat keluarga berkongsi tempat tinggal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Salarom Taka, Rami Ompohol, 50, berkata, di kawasan baru itu mereka masih dapat meneruskan aktiviti terdahulu seperti bercucuk tanam.

”Memburu pun boleh tetapi hasilnya tidak lumayan seperti tinggal di dalam hutan dahulu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pembinaan rumah baru itu sebagai ganjaran kepada mereka yang sanggup berkorban meninggalkan kampung halaman dalam hutan simpan.

”Kami tidak menjangka akan mendapat rumah baru tetapi inilah dikatakan manfaat yang tidak diduga,” katanya.

Seorang lagi penduduk Amus Ibun 52, dari Kampung Kabu berkata, program itu perlu disokong kerana ia bukan sekadar memindahkan penduduk tetapi membantu kerajaan membasmi kemiskinan.

”Dalam keadaan yang berselerak, sukar bagi kerajaan untuk menyediakan segala bantuan khususnya kemudahan asas untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Bagi Bulinta Suhul, 72, beliau tetap berterima kasih dan menghargai usaha kerajaan walaupun hanya dapat menikmati semua itu di penghujung usianya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah projek itu dapat diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cucu mereka.
Lumbur Bawang, 46, dari Kampung Malilia pula menyifatkan PPM satu hadiah yang istimewa bagi mereka yang sanggup meninggalkan kedamaian kampung halaman yang diwarisi dari nenek moyang sejak turun-temurun.
“Jika ikut hati, memang kami sukar melupakan kampung halaman dalam hutan simpan dulu kerana segala-galanya ada seperti mudah mendapat binatang buruan dan menangkap ikan di sungai,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, dengan kemudahan yang disediakan segala kekecewaan kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman sedikit terubat.

Penduduk diminta sokong PPM

NABAWAN 17 Julai – Projek Perhutanan Masyarakat (PPM) perlu disokong kerana ia mampu membela nasib penduduk yang masih tinggal dalam kawasan-kawasan hutan simpan sekitar daerah ini.

Pegawai Daerah Nabawan, Bubudan O.T Majalu berkata, PPM bukan sekadar memindahkan penduduk tetapi berusaha menyediakan peluang ekonomi dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan mereka.

”Keluar dari kawasan hutan simpan adalah langkah pertama membela nasib mereka. Selama ini mereka berada di hutan simpan, tidak bebas bercucuk tanam kerana dasar perhutanan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas melawat tapak pembinaan perumahan PPM di Kampung Salarom Taka, Sepulut baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pegawai Perhutanan Daerah Nabawan, Petin Kilou; Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Nabawan, Antomok Udong dan Pegawai Kerja Jabatan Air Daerah Nabawan, Frankie Mogiri.

Bubudan berkata, langkah kedua dalam membantu penduduk berkenaan adalah dengan menyediakan penempatan kekal yang selesa serta lengkap dengan kemudahan asas.

Beliau menambah, dengan PPM, kerajaan dapat menyalurkan pembangunan dengan lebih berkesan kerana penduduk terbabit tinggal di kawasan penempatan yang tersusun.

”Sebagai contoh, di bawah PPM Kampung Salarom Taka kerajaan dapat membantu penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Salarom, Lelimpi, Malilia dan Kabu yang bersetuju berpindah ke kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Petin berkata, Jabatan Perhutanan akan memantau pelaksanaan projek berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia siap mengikut jadual.

Katanya, jabatan itu juga akan mengadakan lawatan sekurang-kurangnya sekali sebulan ke kawasan projek bagi memastikan ia dibina mengikut standard yang ditetapkan.

”Kita tidak mahu berlaku kepincangan dalam pelaksanaan kerana ia akan menjejaskan penduduk kampung tersebut,” katanya.

1,000 rayu premis niaga baru

PENSIANGAN: Kira-kira 1,000 penduduk daerah kecil Pensiangan, di sini merayu kerajaan menyediakan premis perniagaan baru bagi menggantikan kedai lama yang sudah terlalu uzur.

Mereka memerlukan kedai yang lebih baik untuk berniaga dan menyediakan keselesaan untuk pengguna berbanding bangunan sedia ada yang bukan setakat sudah uzur, malah membahayakan keselamatan mereka.

Kedai sedia ada yang dianggarkan berusia lebih 60 tahun pernah menjadi tumpuan tentera British ketika Perang Dunia Kedua tetapi semakin kehilangan daya penarik sekarang.

Ada empat kedai di pekan ini tetapi hanya satu yang masih beroperasi berikutan kerosakan dinding dan bumbung pada ketiga-tiga kedai berkenaan.

Seorang penduduk, Mantoi Paling, 59, berkata kedai lama berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri dan jika kerajaan menyediakan kedai baru, kedai yang lama itu harus dikekalkan sebagai satu daripada bahan sejarah di daerah ini.

“Berdekatan dengan kedai itu masih ada kubu yang dibina penduduk kampung menentang tentera Jepun. Ia boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

“Kami merayu kerajaan menyediakan kedai baru. Bagaimanapun, kedai lama harus dikekalkan,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Selain beberapa kedai, pekan berkenaan ada sebuah sekolah, klinik kesihatan dan menjadi tempat persinggahan penduduk yang menaiki bot dari Salong ke beberapa kampung berdekatan seperti Selungai dan Kampung Bantul yang bersempadan dengan Kalimantan.

Wakil Ketua Anak Negeri, Tuoh Sungayan, 74, berkata kedai baru wajar dibina kerana bangunan sedia ada tidak menjamin keselamatan.

Ketua Kampung Salinatan, Ambril Antutun, 73, mencadangkan kerajaan mewujudkan tamu mingguan bagi memberi peluang penduduk memasarkan produk pertanian.

“Pekan ini akan menjadi lebih meriah jika tamu mingguan diadakan di sini. Kampung Salinatan ada potensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Hubungan Sepulut, Kg. Siato lebih mudah

NABAWAN 16 Julai – Lebih 2,000 penduduk di mukim Pensiangan dekat sini akan menikmati kemudahan perhubungan yang lebih mudah apabila jalan raya dari Sepulut ke Kampung Siato, Pensiangan siap tidak lama lagi.

Pembinaan jalan sejauh 30 kilometer itu kini sedang giat dilaksanakan oleh syarikat Helang Biru Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan Helang Biru, Rugayah Ali berkata, selain jalan terbabit, pihaknya mendapat kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk membina kemudahan pelancongan di Kampung Siato.

”Jika cuaca mengizinkan jalan tersebut dijangka siap awal bulan depan. Penyelenggaraan dan pembersihan bekas jalan pembalakan itu kini giat dilakukan” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama penduduk di Balai Budaya Pensiangan, di sini baru-baru ini.

Rugayah berkata, pembinaan jalan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Sabinait dan mukim Sepulut untuk berurusan dengan keluarga di kawasan Pensiangan.

Katanya, dengan adanya jalan raya itu akan memudahkan penduduk setempat memasarkan hasil tanaman mereka berbanding menggunakan sungai seperti dilakukan hari ini.

Mengenai kemudahan pelancongan itu, beliau menjelaskan pembangunan tersebut berkonsepkan mesra alam dengan mengekalkan kehijauan bumi di kawasan itu.

Sementara itu penduduk yang ditemui menyambut baik langkah menyelenggara jalan raya yang sudah rosak dan terputus lebih lima tahun lalu.

Seorang penduduk Kasiwat Angkawang, 47, berkata, dengan adanya jalan tersebut akan memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tanaman mereka.

“Pada masa ini kami menggunakan bot tetapi pengangkutan itu amat terhad dan kosnya terlalu tinggi” katanya.

Ketua Kampung Salinatan, Ambaril Antutun, 73, berkata, selama ini penduduk menghadapi kesukaran untuk menjalankan urusan di Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan kerajaan lain di Nabawan.

”Sejak jalan raya ini tidak boleh dilalui banyak urusan tertangguh kerana masalah pengangkutan,” katanya.

Mansuh PPSMI dapat tingkat pencapaian pelajar pedalaman

PENSIANGAN (Sabah): Ibu bapa dan murid di kawasan pedalaman di sini yakin pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 bakal meningkatkan murid cemerlang kedua-dua subjek itu dalam peperiksaan utama.

Ini kerana PPSMI menyebabkan kebanyakan pelajar sama ada di sekolah rendah atau menengah di pedalaman gagal mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan utama berikutan tidak memahami bahasa Inggeris.

Dengan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, mereka yakin lebih mudah memahaminya, sekali gus mencapai kejayaan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Kampung Sumabi, Mantoi Paling, 59, berkata murid di kampung itu sukar memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris kerana tidak menguasai bahasa berkenaan.

“Kami gembira kerana anak kami lebih memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Malaysia. Dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM sejak beberapa tahun lalu, tidak ramai murid di kampung ini mendapat keputusan cemerlang kerana tidak memahami bahasa Inggeris,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Seorang penduduk, John Edward Limposon, 58, berkata PPSMI hanya akan berkesan jika sekolah di pedalaman dilengkapi kemudahan asas, terutama bekalan tenaga elektrik, jalan raya dan makmal komputer.

Katanya, PPSMI tidak berkesan kerana komputer yang dibekalkan di sekolah pedalaman tidak mampu digunakan sepenuhnya kerana ketiadaan bekalan tenaga elektrik.

“Untuk mendapatkan sumber tenaga, sekolah terpaksa bergantung kepada generator. Inilah masalah dihadapi pelajar di pedalaman seperti kampung ini,” katanya.

Pensiangan adalah satu daripada kawasan luar bandar di Sabah. Dengan jarak kira-kira 80 kilometer dari Keningau, daerah ini jauh ketinggalan dari aspek kemudahan asas seperti jalan raya, tenaga dan air.

Murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Pensiangan, Willie Mantoi, berkata beliau dan murid lain sukar memahami PPSMI kerana tidak menguasai bahasa berkenaan.

“Memang bagus dapat belajar Sains dan Matematik dengan menggunakan komputer tetapi kami tidak faham kerana ia diajar dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Seorang guru di SK Sibangali yang enggan dikenali, berkata PPSMI tidak berkesan kerana komputer dalam makmal komputer sering rosak akibat terpaksa bergantung kepada generator.
“Kemudahan komputer untuk PPSMI di pedalaman tidak dapat digunakan seperti di bandar kerana sumber tenaga bergantung kepada generator,” katanya.

Bekas Pelari Pecut Bakal Juara Dalam Politik

Oleh Kristy Inus

SOOK, (Keningau) 29 Feb Bernama) -- Selepas meninggalkan balapan pada awal 80an, bekas pelari pecut Datuk Ellron Angin kini bersedia menghadapi cabaran yang berlainan -- untuk menjadi juara dalam politik.
Bekas juara negeri dan pelari pecut negara, yang mendominasi pasukan untuk perlumbaan acara 100 meter dan 200 meter di Negeri Di Bawah Bayu ini, 20 tahun lepas, kini menyertai perlumbaan lain yang tidak membabitkan spike atau perlumbaan pada balapan.
Beliau akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kawasan pilihan raya Sook pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Dalam pertandingan ini, bekas ahli sukan itu, bukan hanya memikul beban untuk mengekalkan kerusi itu bagi parti pemerintah tetapi juga meneruskan legasi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, penyandang kawasan pilihan raya negeri Sook.
Timbalan presiden PBRS berusia 49 tahun itu, akan bertanding menentang Paul Gitang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sidum Manjim dari Bersekutu dan calon bebas, Suaidin atau Shuhaiddin Langkab.
Walaupun dianggap sebagai muka baru, Ellron, yang berketurunan campuran Murut-Dusun yang berasal dari Sook, yakin untuk mengekalkan kerusi itu yang sentiasa mengalami masalah dan isu, satu kawasan pilihan raya di kawasan pedalaman di bawah bahagian Pensiangan yang kaya dengan kegiatan pertanian.
Dilahirkan di Kampung Biah, Ellron, dengan Kurup, sejak tiga tahun lepas, telah melayani masalah penduduk pedalaman di Sook, yang kebanyakan kurang dalam kemudahanan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air paip."Walaupun sebelum saya dinamakan sebagai calon BN, saya telah membuat penyelidikan mengenai masalah yang dihadapi penduduk. Masalah utama ialah hampir 70 peratus rumah di sini tidak mendapat bekalan air sementara kampung di kawasan pedalaman tidak ada kemudahan elektrik," katanya kepada Bernama di Kampung Biah di sini baru-baru ini.
Beliau berkata kerajaan BN bukan hanya cuba mendapatkan bekalan air bersih kepada penduduk, tetapi juga meminta sumber air baru bagi memastikan bekalan air tidak terganggu dalam masa jangka panjang."Bagi bekalan elektrik, ia di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)...perhubungan dari Sook ke Batu Lunguyan sudah siap hampir 90 peratus dan akan beroperasi pada Jun ini," tambah beliau. Topik yang hebat diperkatakan di Sook ialah calon BN mahu menangani isu tanah dan PBRS mempunyai satu biro untuk mengendalikan isu ini.
Ellron berkata presiden PBRS sejak beberapa tahun lepas telah banyak membawa perubahan di kawasan pilihan raya ini dan berjanji untuk meneruskan kerja baik Kurup dalam perkara pembangunan di Sook.
Berbekalkan pengalaman dalam arena politik dan pengetahuan mengenai orang tempatan, Ellron tidak bimbang mengenai pertandingan pada pilihan raya ini."Apabila saya melihat lawan saya, mereka nampaknya mempunyai persamaan...saya tidak nampak sesiapa daripada mereka menyelesaikan masalah penduduk di sini. Mereka juga bukan dari Sook tetapi penduduk Sook boleh menilai dan memilih siapa mereka hendak undi," tambah beliau.
Keyakinan beliau disambut dengan positif daripada penduduk Sook yang ditemui dan ditemuramah Bernama.Hamini Mansuh, 43, yang menjalankan perniagaan runcit bagi keluarganya berkata reputasi Ellron mendahuluinya dan dengan muka baru adalah lebih baik untuk kawasan pilihan raya itu.
Seorang penduduk Kampung Binuou Ulu, Thomas Limsayong, 47, berharap bakal anggota dewan undangan baru itu boleh membantu mereka menangani masalah di sana dan meningkatkan pembangunan kawasan pilihan raya itu."Sebenarnya kawasan pilihan raya ini memerlukan banyak bantuan daripada anggota dewan undangan negeri itu. Isu masalah tanah, air dan bekalan elektrik mestilah diberikan perhatian," tambah beliau.
Abdul Rechip Tinandu, 36, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Tiulon, berkata:"Harapan kita ialah sebagai seorang muka baru, beliau memberikan nafas baru kepada penduduk Sook...beliau muda dan bertenaga, jadi kita harap beliau boleh bekerja dengan mudah dengan kita.""Calon BN tidak mempunyai masalah memenangi hati penduduk di sini kerana mereka mahu perubahan dan tidak ada sebab untuk kita menyokong calon lain," tambah beliau.
Dari 1975 hingga 1978, Ellron mewakili Sabah pada peringkat bawah 100 meter dan 200 meter. Dari 1978 hingga 1983, beliau mewakili Malaysia dalam Sukan SEA sebanyak tiga kali dan Sukan Asia sekali. Beliau memperoleh ijazah dalam pendidikan jasmani pengkhususan dalam pengajian sukan dan sarjana dalam sukan sains pengkhususan dalam pentadbiran sukan dari Indiana State University, Amerika Syarikat dari 1986 hingga 1990.
Ellron kemudian kembali ke Sabah dan memulakan kerja sebagai jurulatih Lembaga Sukan Saba, pengurus Kompleks Sukan Keningau dan pengarah projek Gemilang.Beliau juga setiausaha politik di tiga kementerian negeri yang berlainan sebelum melibatkan diri dalam politik pada 1994. Pada 1994, beliau bertanding dalam pilihan raya umum di bawah lambang BN untuk kawasan pilihan raya parlimen Keningau tetapi tewas kepada presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, ketika itu pembangkang.
-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails