Sabtu, 20 November 2010

Bajet 2011 Negeri Sabah.........




KOTA KINABALU: Semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menerima peruntukan khas RM1 juta berbanding RM600,00 sebelum ini bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan masing-masing, mulai 1 Januari depan.

Peruntukan berkenaan digunakan sebagai perbelanjaan sepanjang 2011 bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan terutama infrastruktur, demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata pertambahan peruntukan itu berdasarkan permohonan ADUN untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan berikutan jumlah sebelum ini tidak mencukupi. “Saya mahu peruntukan ini digunakan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat,” katanya selepas membentangkan bajet Bajet 2011 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Likas, di sini. Bagaimanapun, beliau berkata, bajet itu bukan untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. “Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Kita buat kerja untuk rakyat. Kalau tiada pilihan raya pun, kita tetap buat kerja bagi pastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan Bajet 2011, Musa berkata, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan RM3.068 bilion dengan anggaran emolumen RM597.56 juta. Selain itu, RM1.057 bilion disediakan bagi perbelanjaan berulang manakala perbelanjaan khas RM1.413 bilion. Musa berkata, kerajaan negeri menjangka hasil negeri RM2.74 bilion pada tahun depan, meningkat berbanding RM2.5 bilion tahun ini. “Walaupun ia bajet defisit, kerajaan negeri yakin mampu menguruskan kewangan negeri dengan baik bagi membolehkan masyarakat menikmati faedah,” katanya.

Beliau berkata, hasil kerajaan negeri adalah daripada cukai, iaitu RM1.054 bilion atau 38 peratus dengan cukai jualan menyumbangkan RM1 bilion manakala hasil bukan cukai RM1.397 bilion (51 peratus) dengan royalti petroleum menyumbangkan RM721 juta. “Sebanyak RM296.31 juta atau 11 peratus daripada terimaan bukan hasil. Ini termasuk pemberian daripada Kerajaan Persekutuan untuk menggantikan duti import dan eksais ke atas petroleum sebanyak RM120 juta,” katanya. Musa berkata, cukai jualan ke atas minyak kelapa sawit dan royalti petroleum menyumbang 60 peratus kepada keseluruhan anggaran hasil. Beliau turut mengumumkan bantuan khas RM500 untuk setiap penjawat awam dari Gred 54 ke bawah pada Disember ini bagi membantu mereka menampung perbelanjaan persekolahan anak pada tahun depan.

Katanya, bantuan kepada orang susah bagi setiap ADUN dinaikkan kepada RM100,000 setahun berbanding RM50,000 setahun sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails