KENINGAU: Ibu dan anak berumur tiga tahun rentung dan masih berpelukan, selepas rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kg. Kapakaan, Biah, kira-kira jam 11 pagi pada Rabu.
Menurut saksi, ibu muda itu – Nor Binti Kassim, 30, sedang berehat bersama anaknya – Thasya Roy, 3, di ruang tamu rumah dua tingkat itu. Ketika kejadian, suami mangsa – Roy Gasinau, dipercayai sibuk menyediakan makanan tengah hari di bahagian dapur. Roy merupakan seorang anggota tentera di Kem Terandak Melaka, yang baru tiba beberapa hari untuk bercuti di kampung halaman.
Api yang dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah itu, terlalu pantas merebak ke seluruh bahagian rumah, menyebabkan kedua beranak itu tidak sempat menyelamatkan diri.
Suaminya telah berusaha untuk masuk ke bahagian ruang tamu untuk menyelamatkan isteri dan anaknya, namun usahanya gagal akibat bahang yang terlalu panas. Kedua beranak itu kemudian ditemui rentung dan masih berpelukan sesama sendiri.
Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba beberapa minit selepas mendapat maklumat daripada orang ramai, berjaya mengawal api daripada merebak ke beberapa rumah berhampiran.
Ketua Polis Keningau DSP Zahari Mohamed yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Keningau untuk bedah siasat.
“Semua pihak termasuk penduduk telah berusaha untuk menyelamatkan mangsa, dan rumah itu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat masih berusaha mengenal pasti punca kebakaran, termasuk mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhampiran. Sehingga berita ini ditulis, mayat kedua beranak yang dalam keadaan rentung masih dalam proses bedah siasat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan