KENINGAU: Hujan yang turun dua hari berturut-turut di kebanyakan tempat di daerah pedalaman, melagakan rata-rata penduduk khususnya golongan petani.
“Masa untuk mengusahakan sawah,” demikian reaksi Harry Gitik, 45, yang merupakan Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kg. Tagai.
Harry berkata, kemarau yang melanda di daerah ini sejak lebih tiga bulan, mengakibatkan hampir kesemua tadahan air sawah kering di daerah terbabit.
Bencana itu turut mengakibatkan kuantiti air Sungai Padas berkurangan, mengakibatkan penjanakuasa elektrik stesen hidro Pangi hampir-hampir terjejas.
Hujan turun selama 4 jam di daerah ini pada malam Selesa, diikuti pada Rabu yang bermula tengah malam dan berakhir kira-kira jam 5 pagi kelmarin.
Tinjauan dibuat mendapati beberapa anak sungai yang sebelum ini kering, mulai bermaya dan menghasilkan sedikit air. “Kita berharap hujan akan turun secara berterusan,” tambah Harry.
Hujan yang turun pada Selasa dan Rabu menggembirakan kebanyakan penduduk yang bersandarkan hujan, untuk mendapatkan sumber air khasnya mereka yang tinggal di kawasan tinggi. Sementara itu, paras sungai Panawan di Nabawan yang menurun 10 inci dari empat kaki minggu lepas kini kembali seperti sedia kala berikutan hujan selama dua hari itu.
Pengeluaran air di loji rawatan air mini juga telah kembali seperti biasa dan ini bererti ianya mampu menghasilkan sehingga satu juta liter air sehari untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan.
Berikutan kemarau yang berpanjangan sebelum ini, pengeluaran air berkurangan separuh.
Penduduk Nabawan berkata mereka berharap hujan akan berterusan turun agar mereka tidak lagi berdepan dengan masalah bekalan air.
Kira-kira 3,000 dari 7,000 penduduk di Nabawan menerima air paip yang lainnya bergantung kepada air graviti. Pegawai Daerah Nabawan, Bududan OT Majalu ketika dihubungi bagaimanapun berkata pejabat daerah akan terus menghantar bekalan air enam kampung iaitu Lima, Sarikan, Kabangawong, Tetagas, Dua dan Bahagian B. “Bekalan air di kawasan pekan sudah kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Sementara itu dua jambatan yang menghubungkan Salong dan Sepulut dihanyutkan air deras semasa banjir kilat pada Selasa dan lima kampung juga dilanda banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan