Khamis, 25 Mac 2010

Dua jambatan di Nabawan hanyut

NABAWAN: Jalan perhubungan dari Salong ke Sepulut terputus pada awal pagi Rabu apabila dua jambatan hanyut akibat banjir kilat. Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan Panai Anduat ketika dihubungi berkata, jambatan yang hanyut itu adalah jambatan Sungai Saupi dan Sungai Sandangoh berikutan hujan lebat yang berterusan sejak Selasa lepas.

Katanya, pihaknya telah menerima laporan berhubung kemusnahan dua jambatan itu pada pagi Rabu (kelmarin). “Memandangkan jalan Salong–Sepulut adalah laluan utama bagi penduduk Daerah Kecil Pegalungan ke Pekan Nabawan maka kita akan membina jambatan sementara sebagai laluan alternatif,” katanya. Beliau berkata, kedua-kedua jambatan yang hanyut itu akan dibina semula dalam masa yang terdekat.

Dalam masa yang sama, Panai meminta penduduk di kawasan itu supaya bersabar dan mematuhi arahan yang dibuat oleh JKR dari masa ke masa sebagai langkah menjaga keselamatan. Sementara itu di Kg. Tampusison sekurang-kurangnya lima rumah ditenggelami air akibat banjir kilat pada Selasa. Seorang penduduk Jeffrey Diuku berkata, banjir itu berlaku berikutan hujan lebat yang berpanjangan sejak awal malam hingga pagi.
Katanya, banjir kilat itu menyebabkan keerosakan harta benda penduduk namun tidak ada kemalangan jiwa berlaku.

Beliau berkata, banjir kilat itu turut berlaku di Kg. Pamuntarian menyebabkan jalan raya Pamuntarian ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan pada awal pagi Selasa
Walau bagaimanapun katanya, pada Rabu jalan raya itu sudah boleh dilalui kenderaan seperti biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails