Jumaat, 13 November 2009

Segera bina rumah mangsa banjir - Kurup

KENINGAU 10 Mac - Pejabat Daerah Keningau diminta tidak melambat-lambatkan pelaksanaan projek pembinaan rumah bagi mangsa banjir di Nabawan dan Sook yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pembinaan rumah menerusi Skim Bantuan Rumah itu perlu disegerakan bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

''Pembinaan kira-kira 10 buah rumah itu penting untuk keperluan penduduk yang telah kehilangan tempat berteduh. Justeru kita berharap pihak berwajib mengambil perhatian mengenai perkara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada 86 keluarga daripada tujuh buah kampung yang terletak dalam Mukim Ansip, Keningau di sini semalam.

Kampung yang terjejas akibat banjir itu ialah Kampung Kuala Puntih, Membulu, Mempulut, Pagalungan Ansip, Ansip dan Kuala Biah.

Kejadian itu menyebabkan tujuh buah rumah musnah setelah dihanyutkan banjir manakala berpuluh buah rumah lagi mengalami kerosakan pada struktur rumah.
Kurup berkata, penerima bantuan rumah melalui skim berkenan yang disalurkan ke Pejabat Daerah telah dikenal pasti.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, pembinaan tersebut perlu disegerakan memandangkan kebanyakan mangsa yang terlibat menumpang di rumah saudara atau di bangsal.

Dalam perkembangan berkaitan, Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meminta pemimpin di peringkat akar umbi agar memastikan penduduk di kawasan yang diwakili mereka tidak tercicir dalam senarai penerima bantuan kerajaan.

''Kita tidak mahu masalah keciciran ini menjadi buah mulut dan kerajaan pula dituduh pilih kasih. Oleh itu, laporan yang lengkap harus diserahkan. Saya mahu setiap kelemahan diperbaiki," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails