Isnin, 30 November 2009

Penduduk Mukim Lanas rayu k’jaan wujud sekolah menengah

25th May, 2008

KENINGAU: Penduduk Mukim Lanas daerah Kecil Sook merayu supaya kerajaan menimbang untuk mewujudkan sekolah menengah di kawasan itu bagi memudahkan para pelajar yang tinggal di kawasan perkampungan itu, melanjutkan pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ranca-ngan Pengujudan Pembangunan SMK Trus-madi, Rusikan Imbayan berkata, ini kerana perkampungan mereka terletak jauh dari sekolah menengah sedia ada di daerah kecil Sook.

Oleh itu katanya, mereka berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan untuk mewujudkan SMK Trusmadi sebagai tambahan kepada sekolah sedia ada iaitu SMK Sook dan SMK Tulid.

“Kita telah mengemukakan permohonan ini sejak 13 tahun lalu tetapi sehingga kini belum ada berita menggembirakan.

“Sekolah menengah sedia ada yang terletak jauh dari Mukim Lanas menjadi punca ramai pelajar sekolah rendah tidak dapat meneruskan pelajaran ke sekolah menengah, jadi saya berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan kami,” katanya.

Rusikan yang juga mantan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) menyatakan, sebelum ini permohonan mereka telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8).

“Melalui surat yang kami terima dari Unit Pembangunan Sektor Pengurusan Perkhidma-tan Pendidikan Sabah bertarikh 26 Disember 2007 (rujukan JP (S6) / PEMB/MSSM / 294/Vol 4 (2) meminta Jabatan Pendidikan Daerah membuat lawatan bagi mengenalpasti lokasi yang dicadangkan oleh penduduk kampung.

“Dalam surat itu, mereka (Jabatan Pen-didikan Negeri) juga telah memaklumkan bahawa projek itu akan dimasukkan dalam RMK-8, Kajian Separuh Penggal, tetapi sehingga kini belum ada lagi,” katanya.

Menurut Rusikan, penduduk di Mukim Lanas amat mengharapkan sebuah sekolah menengah diwujudkan di kawasan itu dengan mencadangkan tanah seluas 25 ekar di Kampung Mengerimot sebagai tapak.

“Pada ketika ini anak-anak dari mukim itu, bersekolah di SMK Tulid iaitu sejauh kira-kira 20km dari kawasan Mukim Lanas.

“Dengan keadaan jalan raya yang teruk dan para pelajar terpaksa menempuh perjalanan yang jauh setiap hari, pastinya menyebabkan mereka kehilangan tumpuan apabila berada di sekolah,” katanya.

Katanya lagi, sebahagian pelajar dari mukim Lanas melanjutkan persekolahan peringkat menengah sama ada di SMK Tulid, SMK Sook atau di Keningau.

Bagaimanapun Rusikan berkata, sebahagian daripada mereka tidak mampu berbuat demikian kerana masalah kewangan keluarga.

“Mereka daripada keluarga yang miskin dan tiada sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan anak-anak belajar di tempat jauh … kalaupun ada tapi pendapatan mereka tidak menentu,” jelasnya.

Mukim Lanas mempunyai 15 buah kampung iaitu Kg. Alab, Kg. Batu Lunguyan, Kg. Kilo, Kg.Kuit, Kg. Lalapakon, Kg. Lanas Station, Kg. Mansiat, Kg. Mengerimot, Kg. Nandagan, Kg. Pinipi, Kg. Senaron,Kg. Senaron Tengah, Kg. Seselungan dan Kg. Sinua, Kg. Tuawon.

Penduduk di beberapa buah kampung di Daerah Kecil Tongod yang berhadapan dengan masalah sekolah yang jauh juga me-nyokong penuh cadangan untuk mewujudkan SMK Trusmadi.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg. Man-siat Ismail Amit berkata, pengujudan sebuah sekolah menengah di mukim Lanas amat mendesak dengan mengambil kira kesusahan para pelajar dan ibubapa.

“Dengan adanya sebuah sekolah menengah di kawasan itu, generasi baru di kawasan luar bandar dan terpencil dapat meneruskan pendidikan mereka ke peringkat sekolah menengah.

“Ramai yang terpaksa berhenti sekolah kerana ibu bapa tiada wang mencukupi untuk membelanjakan anak-anak mereka. Mukim Lanas amat terpencil dan ketiadaan sekolah menengah menghadkan keupayaan murid-murid melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah,” katanya.

Mantan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Bernard Maraat sebelum ini berkata, pengujudan sebuah sekolah menengah di kawasan itu perlu diambil perhatian untuk membantu menyusun pembangunan masyarakat luar bandar.

1 ulasan:

  1. Kita berharap akan ada sekolah di Mukim Lanas.Usaha tetap akan diteruskan untuk kebaikan generasi yang seterusnya...kita juga harap agar jalan Sook-Sinua diturap..

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails