Najib diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bersalaman dengan anggota-anggota Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ketika hadir untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan PBRS Ke-14 di sini, kelmarin. 30th December, 2009
KOTA KINABALU: Cadangan supaya sistem keahlian terus diamalkan oleh Barisan Nasional perlu dibincang oleh semua komponen dan dikaji terlebih dahulu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Mengulas saranan yang dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Perdana Menteri berkata beliau akan berunding dengan rakan-rakan komponen BN sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Ini bukan perkara baru, (ia) sudah disebut-sebut sebelum ini, pernah kita bincang tapi kita belum buat satu keputusan secara rasmi.
“Biarlah saya berunding dengan parti-parti komponen BN di peringkat Dewan Tertinggi terlebih dahulu. Kita kaji pro dan kontranya, buruk baiknya dan juga kaedahnya sekiranya kita nak buat. Ini semua kita mesti fikir terlebih dahulu, kalau tidak, timbul masalah lain pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-14 di sini, kelmarin.
“Ini bukan perkara baru, (ia) sudah disebut-sebut sebelum ini, pernah kita bincang tapi kita belum buat satu keputusan secara rasmi.
“Biarlah saya berunding dengan parti-parti komponen BN di peringkat Dewan Tertinggi terlebih dahulu. Kita kaji pro dan kontranya, buruk baiknya dan juga kaedahnya sekiranya kita nak buat. Ini semua kita mesti fikir terlebih dahulu, kalau tidak, timbul masalah lain pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-14 di sini, kelmarin.
Pada Isnin Rais mengesyorkan agar BN mempunyai sistem keahlian terus yang dibuka kepada orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa bersandarkan kepada parti-parti komponen.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak turut membuat cadangan serupa semalam kerana berpendapat keahlian secara terus itu akan membolehkan mereka yang komited atau berminat dengan BN tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama BN.
Mengenai satu perkara lain, Najib berkata suruhanjaya diraja tidak perlulah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membazirkan RM100 bilion.
“Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja, tetapi dalam hal ini, tak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.
“Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,” katanya ketika ditanya cadangan penubuhan suruhanjaya itu yang dibuat oleh penasihat DAP Lim Kit Siang bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Najib juga berkata masih ada masa untuk mengkaji implikasi penuh daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjelang tahun 2011.
“Ianya tidak akan dilaksanakan sehingga 2011 jika kita membuat keputusan untuk meneruskannya. Bukan maksud saya ini sudah pasti tetapi apa yang kita putuskan ialah membentangkan rang undang-undang mengenai perkara itu…bacaan kedua pun belum lagi. Jadi kita ada masa melihat kesan GST itu sepenuhnya,” kata beliau ketika diminta mengulas impak GST kepada perbezaan harga barangan di Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak.
Najib juga berharap tahun baru ini akan menjadi “tahun pelaksanaan atau tahun tindakan” bagi pelbagai program yang dijanjikan kepada rakyat.
“Bidang Keberhasilan Utama Negara merupakan aku janji kita untuk rakyat. Kita sudah buat secara telus, dan rakyat akan teliti sejauh mana keberkesanan kita.
“Sebab itulah seluruh jentera kerajaan mestilah kita juruskan untuk menjamin keberkesanan setiap NKRA dan juga agenda pembangunan yang telah ditentukan,” kata Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan