Rabu, 30 Disember 2009

PM ingatkan YB BN hadir Dewan


NAJIB, Rosmah dan Musa bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah pada Majlis Rumah Terbuka Krismas di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang culas menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah kemungkinan digugur sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika memberikan bayangan itu berkata, Ahli Parlimen perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab selaku pemegang amanah rakyat dan satu daripadanya ialah menghadiri sidang dewan.
Sehubungan itu, beliau mahu Ahli Parlimen BN memaklumkan kepada Ketua Whip jika perlu menghadiri program rasmi yang mendesak ketika Dewan Rakyat bersidang supaya ketiadaan mereka tidak dipersoalkan. Sambil menegaskan kehadiran ke Dewan Rakyat tidak perlu menjadi sebahagian daripada pengisian Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), Najib berkata, beliau mempunyai pendekatan tersendiri menangani keadaan itu. "Serahkan kepada saya. Tunggu bila dah dekat masa nak memilih calon pilihan raya nanti, tahulah saya apa nak buat.
"Apa yang berlaku mesti dijadikan pengajaran supaya tidak berulang. Saya faham kadang-kadang kita perlu menghadiri urusan di luar Parlimen ketika dewan bersidang dan kita akan ketatkan peraturan mengenai perkara ini," katanya pada sidang media di Pacific Sutera Harbour di sini, semalam. Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi BN merasmikan Perhimpunan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ke-14. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Shafie Apdal; Presiden PBRS dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Mengulas cadangan supaya BN mengamalkan sistem keahlian terus, Perdana Menteri berkata, perkara itu memerlukan kajian dan perbincangan terperinci dengan semua parti komponen. "Ia bukan perkara baru kerana pernah dibangkitkan, malah kita pernah bincangkan tetapi belum ada keputusan rasmi dibuat.

Di KUCHING, Najib berkata, BN akan mewujudkan sistem pengawasan dan penyampaian maklumat lebih tepat serta komprehensif bagi menangani isu ketidakhadiran Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat. Perdana Menteri berkata, ia perlu supaya Ahli Parlimen tahu pada setiap ketika dewan bersidang, BN perlu ada jumlah anggota yang mencukupi. "Kalau ada pengundian, kita mesti pastikan bilangan yang boleh menjamin kemenangan selesa kepada BN. Apa yang jadi masalah ialah pembangkang cuba nak perangkap kita. Belah-bahagi (pengundian di dewan) timbul pada bila-bila masa... jadi kita mesti tentukan setiap ketika kita cukup jumlah anggota dalam dewan," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ketujuh (Pemilihan) 2009 Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah. Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom. Najib berkata, memang ada sesetengah urusan (di luar negara) yang tidak dapat dielakkan, tetapi lawatan dan urusan ke luar negara akan dikurangkan dengan mewujudkan sistem perhubungan lebih berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails