Rabu, 28 Julai 2010

Sook sudah bersedia untuk RMK-10

BUAL…Ellron berbual mesra dengan Warga emas yang antara lainnya merupakan penerima Skim Bantuan Orang Tua (BOT).

Oleh: ROZIE JUMAT

KAWASAN Dewan Undangan Negeri Sook (DUN) Sook telah bersedia untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dengan cadangan-cadangan projek pembangunan yang mendesak. Pengumuman mengenai RMK10 akan diumumkan Perdana Menteri Khamis ini.

Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin berkata, Sook adalah sebuah kawasan di pedalaman yang memerlukan pacuan pembangunan secara agresif, dan pengumuman Perdana Menteri mengenai keutamaan kepada Sabah dalam RMK10 adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan dan dihargai rakyat di kawasan itu.

Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, untuk melaksana projek-projek kecil kawasan Sook memerlukan peruntukan RM90 juta mengikut senarai cadangan yang telah dirangka bagi menghadapi RMK10.

Katanya, Melihat kepada jumlah tersebut adalah sangat jelas bahawa Sook, sebuah kawasan di luar bandar dalam kawasan pedalaman amat memerlukan lebih banyak peruntukan dan keutamaan.

“Sebagaimana rakyat mendesak kepada kita, begitu jugalah wakil rakyat mendesak dan merayu kepada kerajaan agar permintaan-permintaan rakyat dapat dilaksana,” kata Ellron.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Kesyukuran Bantuan Orang Tua (BOT) di Kg.Membulu di sini.

Dalam pada itu Ellron berkata, berkat usaha kerja keras mantan wakil rakyat di Sook (Tan Sri Joseph Kurup) masalah-masalah tanah di kawasan itu seperti di Mandalom dan Sook Plan telah disukat dan dikeluarkan kepada rakyat.

“Kita berterima kasih kepada beliau (Kurup) kerana hasil kesinambungan kerja antara kami berdua, maka kita dapat melihat hasilnya berpihak kepada rakyat,” kata Ellron.

Beliau juga memberitahu bahawa Kampung Mempulut, Kg.Membulu, Kg.Kuala Puntih dan Kuala Tigasa bakal menerima bekalan air yang berpusat dari Bingkor apabila projek berkenan siap sepenuhnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails