KENINGAU: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin berkata, jangan terlalu terikat dengan kuota apabila meletakkan calon dalam pilihan raya akan datang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat sokongan. Katanya, kuota bukan penentu kemenangan tetapi kemenangan yang mutlak adalah terletak dalam sokongan majoriti pengundi di kawasan berkenaan.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan berkata, antara faktor kekalahan BN di beberapa negeri di Semenanjung adalah disebabkan penentuan kuota dan tidak berlandaskan kepada suara majoriti rakyat. Justeru itu katanya, apa yang berlaku di negeri-negeri berkenaan seperti Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang akibat ketidakpuasan rakyat terhadap calon yang diletakkan jangan berlaku di Sabah. Dalam masa yang sama Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menggesa para pemimpin Umno di negeri ini perlu turun padang dan menemui ahli diperingkat akar umbi agar hati rakyat khususnya ahli Umno dekat dihati pemimpin mereka.
Katanya, para pemimpin Umno perlu mendekati ahli dan rakyat keseluruhan bagi memastikan sokongan mereka berkekalan kepada BN. “Ini adalah saranan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najid Tun Razak kepada pemimpin-pemimpin Umno dan BN,” katanya semasa berucap pada majlis sarapan pagi besama pemimpin dan ahli Umno Bahagian Keningau, Pensiangan dan Tenom di hotel juta di sini awal pagi kelmarin.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Persekutuan berkata, mendekati rakyat lebih dekat ada resipi yang terbaik dalam perjuangan politik.
Beliau berkata, rakyat telah meletakkan pemimpin duduk di atas maka wajarlah pemimpin memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Di majlis singkat itu Lajim turut meminta agar para pemimpin dan ahli-ahli Umno di negeri ini memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman. Katanya, jika ada t tohmahan-tohmahan dari pihak pembangkang, pemimpin dan ahli Umnolah yang harus menjadi benteng kepimpinan Umno. “Kita merasa kesal jika terdapat pemimpin dan ahli Umno yang tidak bertanggungjawab yang mengaminkan tohmahan pembangkang,” tegasnya.
Hadir sama di majlis itu Ketua Umno Bahagian Keningau Datuk Haji Sairin Haji Karno, Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang, Timbalan Ketua Umno Bahagiab Pensiangan Ahuar Rasam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Keningau Hj, Jasni Rahmat, Ketua Wanita Umno Pensiangan Hajah Zaiton OKK Anik, Ketua Pemuda Umno Pensiangan Md. Syafiq Peter Tinggi, dan barisan kepimpinan Umno Keningau, Pensiangan dan Tenom.
Sumb: Berita Sabah Times 7/2
Tiada ulasan:
Catat Ulasan