Rabu, 6 Januari 2010

140,000 IKUTI PLKN

KUALA LUMPUR: Seramai 140,000 peserta dipilih menjalaniN PLKN bagi Siri 7/2010 dengan 38,000 daripadanya menjadi kumpulan pertama menjalani latihan selama tiga bulan.
Kelmarin , seramai 14,238 pelatih dari Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula melaporkan diri di 102 lokasi Pusat Berkumpul di seluruh negara untuk dibawa ke kem-kem latihan melibatkan 355 buah bas.
Baki 14,570 pelatih dari Perlis, Labuan dan negeri-negeri lain akan melaporkan diri esok manakala 9,214 pelatih pada 4 Jan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melepaskan peserta PLKN di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini kelmarin.
Beberapa pelatih yang ditemui di perkarangan stadium itu menyatakan bahawa mereka teruja dan tidak sabar untuk memulakan latihan di kem walaupun ada sedikit kebimbangan dengan ujian yang bakal ditempuh. Atiqah Badrol Hisham, 17, yang akan menjalani latihan di Rembau, Negeri Sembilan, berkata beliau pada mulanya takut tetapi berharap dapat menempuhi tempoh latihan itu dengan selamat. “Sebelum ini saya gementar, takut nak pergi apabila nama saya dipilih, tapi sekarang saya bersemangat nak pergi dan berharap dapat membina keyakinan diri selepas selesainya program khidmat negara ini,” katanya. Koh Yean Nie, 17, yang aktif dalam sukan tenis pula gembira dan teruja dapat menyertai program khidmat negara di Manjung, Perak dan berharap dapat menimba pengalaman serta mengembangkan potensi diri selain menjadi lebih baik daripada segi fizikal dan mental. P. Thangaraj, 17, dari Sentul terlalu ghairah dan tidak sabar-sabar untuk memulakan latihannya di Alor Gajah, Melaka apabila seluruh anggota keluarganya hadir memberi sokongan kepadanya. “Saya menyukainya. Saya telah menunggu lama dan saya sangat gembira apabila nama saya tersenarai, saya sangat berterima kasih,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pusat Berkumpul di sini, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak tunggal.
Lim Lik Kai, 61, turut gembira walaupun terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya, Lim Yan Jang untuk menjalani latihan di Penor, Pekan, Pahang.
“Saya gembira anak lelaki tunggal saya dapat menyertai program ini. Dia seorang anak yang aktif dan pelajar cemerlang dalam akademik serta sukan,” katanya.
Maimunah Hassan, 51, turut gembira dan berkata bukan senang anak keempatnya, Farah Syahirah Muslini mendapat peluang sekali seumur hidup ini kerana ramai orang yang hendak pergi tidak disenaraikan nama mereka.
Di KOTA BAHARU, seramai 1,504 peserta dari Kelantan bertolak ke beberapa kem latihan di Kedah dan Perak, kemarin. Mereka dihantar oleh keluarga masing-masing dan menaiki 34 bas yang menunggu sejak awal pagi di kawasan Perindustrian Padang Tembak di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik, berkata mereka akan berada di kem latihan selama tiga bulan mengikuti pelbagai latihan dalam membentuk remaja jati diri dan berkemahiran.
Di KUALA TERENGGANU, kumpulan pertama seramai 369 peserta PLKN dari Terengganu berlepas ke lima destinasi iaitu satu kem di Terengganu manakala masing-masing dua kem di Kelantan dan Pahang mulai 10 pagi ini.

Timbalan Komander Penyelaras PLKN Kem Merang Suria Kapten (B) Ahmad Satar Ishak seramai 78 peserta akan mengikuti latihan di Kem Cenih Cemerlang, Kemaman, Terengganu, kem PLKN Etnobotani di Gua Musang (123) dan di kem Batu Jong, Kuala Krai (81) manakala di Pahang, kem Cemerlang Gemilang, Cherating (44) dan Kem Agro Semuji (43).
Katanya kumpulan kedua seramai 318 peserta bertolak pada Isnin ini.
Pesara guru Mohd Khairul Hassan, yang menghantar anaknya, berkata PLKN sangat bagus untuk membentuk disiplin remaja selain boleh melahirkan generasi muda cintakan tanah air dengan pendedahan yang diberikan sepanjang latihan itu.
Wan Shufiah Wan Azmi, 18, berkata beliau bertuah dipilih mengikuti program berkenaan dan tidak sabar mengikuti latihan dan menimba pengalaman sepanjang program itu.
“Apabila mengikuti latihan nanti, saya akan mendapat banyak pengalaman dan berjumpa kawan baru yang boleh berbincang dan bertukar pendapat,” katanya.
Di ALOR SETAR, peserta dari Kelantan, Perak dan Pulau Pinang dijangka mendaftar di 12 kem PLKN dalam zon A di seluruh Kedah petang ini.

Komandan Kem PLKN Rekreasi Baling Mejar Abdul Razak Awang berkata penghantaran peserta dari Kedah ke kem-kem di negeri lain bermula Isnin ini.
Di IPOH, seramai 423 peserta PLKN seluruh Perak daripada jumlah keseluruhan 549 peserta yang sepatutnya melaporkan diri di Stadium Indera Mulia di sini, kelmarin, berlepas ke tujuh kem PLKN masing-masing empat di Selangor dan tiga di Pulau Pinang.
Komandan Kem Kepimpinan Gemilang Gopeng Mejar Abdul Razak Wahab berkata JLKN akan membuat tindakan susulan terhadap peserta yang gagal melapor diri hari ini.
“Seramai 362 peserta dijadual mengikuti latihan di Selangor manakala 187 lagi di kem PLKN di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di pekarangan Stadium Indera Mulia.
Beliau berkata seramai 388 peserta PLKN dijadual berlepas esok manakala kumpulan terakhir melibatkan seramai 544 orang berlepas Isnin ini.
DI JOHOR BAHARU, seramai 552 peserta dari sekitar bandar raya ini berlepas ke tujuh kem PLKN dengan menaiki 14 bas yang disediakan dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin mulai pukul 9.30 pagi hingga 11 pagi kelmarin.

Kesemua peserta akan ditempatkan di Kem Debana, Jempol di Negeri Sembilan, Kem Ayer Keroh dan Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan di Melaka serta Kem Ladang Rempah Ratus Nasuha Muar, Kem Padang Hijau Kluang, Kem Teluk Sari Mersing dan Kem Sri Ledang Tangkak. Tinjauan Bernama di pekarangan stadium berkenaan mendapati urusan pendaftaran dan pelepasan peserta berjalan lancar malah ibu bapa turut berpuas hati dengan segala urusan berkenaan. Suri rumah Asnah Seen, 54, dari Kempas berkata beliau senang hati apabila melihat bas yang disediakan untuk menghantar anak perempuannya ke Kem Lagenda Gunung Ledang dalam keadaan baik. “Ini pengalaman kedua saya menghantar anak menyertai PLKN. Saya berpuas hati dengan urusan hari ini dan berharap anak saya selesai menjalani program PLKN dengan baik,” katanya. R.Denish, 17, dari Taman Johor Jaya yang ditempatkan di Kem Teluk Sari Mersing berkata dia tidak sabar untuk memulakan pelbagai aktiviti program itu sejurus mengetahui dirinya terpilih untuk mengikuti PLKN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails