Rabu, 20 Januari 2010

MyID '1 NOMBOR SEMUA URUSAN' DILANCARKAN

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin melancarkan MyID, satu inisiatif yang menggunakan nombor MyKad sebagai nombor rujukan tunggal untuk warganegara Malaysia yang berurusan sebagai individu dengan agensi kerajaan.
Muhyiddin berkata pelancaran inisiatif MyID itu sebagai usaha untuk meningkatkan prestasi sistem penyampaian perkhidmatan dan memudahkan semua pihak untuk berurusan dengan agensi kerajaan.


Katanya insiatif yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berpegang kepada konsep “1 Nombor Semua Urusan” yang akan menjadikan semua urusan dengan agensi kerajaan menjadi lebih mudah dan cepat.“Langkah ini akan membantu rakyat di mana sahaja mereka berada untuk tujuan apa sekalipun, mereka dapat mengakses maklumat dan sebagainya, hanya mengingatkan nombor kad pengenalan.“Ini satu nombor untuk semua yang Perdana Menteri sebutkan, kita dah mula laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MyID dan persidangan Ketua-Ketua Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Normah Md Yusof. Muhyiddin berkata dengan pengenalan insiatif MyID itu, rakyat tidak perlu lagi bersusah payah menyimpan atau menghafal pelbagai nombor rujukan yang kadangkala mendatangkan masalah di kalangan mereka apabila nombor berkenaan hilang atau tidak boleh diingati.“Langkah ini juga bagi mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kaunter-kaunter, orang ramai juga tidak perlu menyimpan banyak dokumen yang kadangkala hilang dan tidak dapat dikesan. Ini satu perubahan yang radikal,” katanya.


Beliau berkata dari aspek keselamatan atau yang mungkin boleh mendatangkan ancaman kepada negara, agensi kerajaan dibenar mewujudkan mekanisme semakan peringkat kedua untuk mengesahkan identiti pelanggan sebelum sebarang urusan dijalankan.
Katanya sehingga kini, sejumlah 760 perkhidmatan yang disediakan oleh agensi perkhidmatan awam di peringkat kerajaan Persekutuan dan Negeri telah menggunakan MyID.
“Bagi memastikan kecemerlangan penyampaian kerajaan, saya ingin menyeru semua agensi kerajaan melaksanakan insiatif MyID ini dengan kadar segera,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mahu sektor awam memberi penekanan terhadap empat aspek iaitu pengurusan perubahan yang berkesan, pengukuhan budaya inovasi, pembudayaan organisasi pembelajaran dan pentakrifan semula peranan sektor awam dalam usaha menjayakan inisiatif transformasi kerajaan.

Katanya ini kerana cabaran yang akan dihadapi oleh negara amnya dan sektor awam khususnya adalah besar dan peranan selaku ketua jabatan sangat kritikal dalam menerajui insiatif perubahan yang telah dimulakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails