Rabu, 6 Januari 2010

Patrick: K'jaan perlu kaji kenaikan harga gula

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengkaji semula kenaikan harga gula kerana sebarang kenaikan barangan keperluan itu akan mengakibatkan inflasi terutama harga minuman dan makanan, kata Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Patrick Sindu. Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan supaya memperhebatkan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula di kalangan rakyat di negara ini.

Patrick berkata kajian semula itu penting bagi memastikan para pengusaha restoran dan peniaga kuih-muih tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan dan minuman mereka ekoran kenaikan harga gula berkuatkuasa 1 Jan lepas.
“Kita menyedari bahawa penggunaan gula yang banyak dalam makanan tidak baik untuk kesihatan, tetapi kerajaan perlu mengkaji semula kenaikan harga gula itu bagi mengurangkan beban para pengguna. “Sekiranya semua harga barangan naik, apa akan jadi kepada golongan berpendapatan rendah. Hampir setiap hari kita laungkan slogan IMalaysia, jadi kerajaan sepatutnya mengambil kira atau mendahulukan kepentingan golongan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Patrick turut menasihatkan para pengusaha restoran atau kedai makan supaya tidak menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati.
“Adalah tidak munasabah mereka (peniaga dan pengusaha kedai makan) menaikkan harga makanan, sebaliknya mereka perlu menjalankan tanggungjawab mereka mengurangkan penggunaan gula dalam makanan atau minuman untuk para pelanggan kerana ia tidak baik untuk kesihatan. “Seperti juga dengan harga rokok … walaupun kerajaan menaikkan harga sekotak rokok sehingga RM20 tetapi ia tidak memberi kesan kepada para perokok kerana mereka masih boleh mendapatkan bekalan rokok yang murah daripada penjaja haram dan rokok seludup yang dijual di merata tempat,” katanya.
Oleh itu katanya, pihak penguatkuasa harus melipatgandakan usaha untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap para penjaja haram yang menjual rokok seludup.
“Di mana-mana pun ada orang merokok walaupun ada tanda amaran ‘Dilarang Merokok’ contohnya di kawasan sekolah dan hospital … apa yang penting ialah penguatkuasaan peraturan atau undang-undang,” katanya.

Berkenaan dengan pemberian subsidi harga gula Patrick berkata, kerajaan perlu menelitinya dengan berhati-hati demi kebaikan bersama.
“Adalah lebih baik subsidi harga gula itu digunakan untuk pembangunan seperti membaiki kemudahan awam. “Seperti yang Perdana Menteri kita nyatakan bahwa kerajaan membelanjakan hampir RM1 billion setiap tahun untuk subsidi harga gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rakan Pengguna Sabah Datuk Amisah Yassin meminta semua pengguna di negeri ini tidak panik ekoran kenaikan harga gula sebanyak 20 sen.
Katanya, kenaikan harga barangan itu akan membuatkan para pengguna berfikir dua kali sebelum mengambil gula secara berlebihan dalam minuman atau makanan.
“Penggunaan gula berlebihan akan mengakibatkan penyakit seperti kencing manis. Oleh itu orang ramai harus melihat kenaikan harga gula itu dari sudut positif iaitu kesihatan berbanding jumlah kenaikan yang masih tidak terlalu tinggi.

“Kenaikan harga gula itu membuka mata masyarakat kita untuk lebih menjaga kesihatan diri dan bukannya berasa terbeban dengan kenaikan harga,” katanya.
Sehubungan itu, Amisah berkata keputusan kerajaan menaikkan harga gula tidak seharusnya ditentang oleh persatuan-persatuan pengguna sebaliknya melihatnya sebagai peluang kepada orang ramai untuk mengurangkan pengambilan gula.
“Rakyat seharusnya menyedari bahawa pengambilan gula secara berlebihan boleh membawa penyakit seperti diabetes dan obesiti.
“Rakan Pengguna Sabah amat prihatin terhadap kesihatan penduduk di negeri ini dan kita tidak menentang kenaikkan harga gula tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat agar tidak mengambil gula secara berlebihan,” katanya.
Amisah berkata, diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya kerana ubat-ubatan yang ada hanya untuk mengawal penyakit itu.

Pada Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 sekilogram di Semenanjung manakala RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak bermula 1 Jan.
Ketua Setiausaha Kementerian itu Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, berkata kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai 1 Jan 2010 dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.
Katanya, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

1 ulasan:

  1. Kenaikan harga gula perlu dikaji semula, penjelasan secara terperinci perlu dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat. Jika tidak pelbagai reaksi akan diterima sama ada pro atau kontra..

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails