JOHOR BAHARU: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepatutnya tidak menyertai sebarang perhimpunan sama ada yang sah atau pun haram bagi membantah penggunaan perkataan “Allah” dalam Herald-The Catholic Weekly.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, berkata walaupun universiti dan Akta Kolej Universiti (Pindaan) 2009 membenarkan pelajar untuk menyertai perhimpunan yang sah, sebagai pelajar yang berpendidikan tinggi mereka sepatutnya boleh menggunakan kaedah yang lain untuk menangani isu itu.
“Kampus adalah tempat terbaik untuk para pelajar yang sudah matang dan berpendidikan untuk mengadakan dialog antara agama dan berbincang perkara itu secara akademik sesama mereka,” katanya selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan karnival Pengajian Tinggi di sini kelmarin.
Katanya, penuntut IPT sepatutnya tidak perlu terlibat dengan sebarang perhimpunan jalanan dan dipengaruhi oleh pihak luar kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak atau mencegah masalah daripada berulang.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan kementerian berkenaan akan memperbaiki standard penilaian kegiatan ko-kurikulum di semua universiti.
Bagaimanapun, pihak kementerian masih mengekalkan keperluan 10 peratus jam kredit pelajar untuk kegiatan ko-kurikulum yang dilihat mampu mengembangkan kecerdasan emosi (EI) dan kemahiran insaniah pelajar, katanya.
Katanya, pelajar yang mendapat keputusan akademik yang baik dan EI yang tinggi menjadi pilihan kebanyakan majikan berbanding pelajar yang hanya mempunyai keputusan akademik yang baik sahaja.
Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya yang dibacakan oleh Mohamad Khaled berkata karnival Pengajian Tinggi selama dua hari itu menjadi pusat sehenti bagi membantu pelajar sekolah dan mereka yang telah meninggalkan bangku persekolahan mendapatkan pilihan untuk melanjutkan pengajian mereka.
Karnival itu disertai 120 institusi pengajian tinggi dan ia akan diadakan di seluruh negara bermula di Johor, diikuti Shah Alam, Selangor pada 16 hingga 17 Jan ini; Kota Kinabalu, Sabah (30-31 Jan); Nilai, Negeri Sembilan (6-7 Feb); Kuching, Sarawak (20-21 Feb); Kepala Batas, Pulau Pinang (27-28 Feb); Jitra, Kedah (6-7 Mac); Kota Bharu (13-14 Mac); Gambang, Pahang (20-21 Mac); dan Ipoh, Perak (27-28 Mac).
sumber : Akhbar News Sabah Times
Tiada ulasan:
Catat Ulasan