Sabtu, 21 Ogos 2010

Balai bomba perlu dibina di Nabawan


marcus Mojigoh (kiri) menerima surat memorandum lesen Kelas F daripada wakil syarikat Kharsani Welder Technology & Services (KWTS) semasa mengadakan lawatan di Putatan, semalam.

NABAWAN 20 Ogos – Kerajaan diminta mewujudkan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di daerah ini bagi meningkatkan tahap pengawalan kebakaran sekali gus menyelamatkan harta benda dan nyawa penduduk di sini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membina sebuah balai bomba di daerah itu.

“Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di daerah ini penting bagi membolehkan pengawalan kebakaran dapat dijalankan dengan cepat.

“Jadi saya berharap agar sebuah Balai Bomba dan Penyelamat dibina di daerah ini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan datang jika ia tidak tersenarai dalam RMK-9,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan pakaian dan jentera pasukan Bomba Sukarela Daerah Nabawan di perkarangan bangunan Majlis Daerah Nabawan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Penguasa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sabah, Ariffin Haris; Pegawai Daerah Nabawan, Bubudan Majalu dan Pemangku Penguasa Bomba Dan Penyelamat Bahagian Keningau, Mausi Sitim.

Pada majlis itu Bobbey turut menyumbangkan sebanyak RM2,000 kepada pasukan Bomba Sukarela Daerah Nabawan.

Menurut beliau, pada masa ini kes kebakaran di daerah ini hanya bergantung kepada balai bomba daerah Keningau yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Nabawan menyebabkan terdapat kelewatan dalam mengawal kebakaran.

Sementara itu, beliau berharap ahli-ahli Bomba Sukarela di daerah ini dapat menggunakan peralatan yang dibekalkan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan latihan yang diberikan.

Selain itu, katanya, beliau juga berharap bomba sukarela di daerah ini sentiasa aktif dan menambah lebih ramai keahlian.

“Sehubungan itu, saya meminta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini menguar-uarkan kepada kakitangan masing-masing agar mereka menyertai Bomba Sukarela,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails