Sabtu, 21 Ogos 2010

Basmi kemiskinan 73 keluarga

Oleh SAPURAH LIYUNANutusansabah@utusan.com.my



penduduk di kawasan hutan simpan Kampung Salarom di mukim Sepulut, Nabawan ini juga akan dipindahkan ke Kampung Salarom Taka yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan bekalan elektrik serta air.

NABAWAN 17 Julai – Walaupun berat untuk meninggalkan kampung halaman yang telah diwarisi sejak generasi terdahulu, atas prinsip menghormati dasar kerajaan, sebanyak 73 keluarga yang sebelum ini tinggal di kawasan hutan simpan bersetuju pindah ke kawasan penempatan baru.

Langkah berani 73 keluarga berkenaan bukan sahaja didorong oleh rasa hormat terhadap peraturan tetapi turut dipengaruhi pertimbangan mengenai nasib anak-anak mereka jika terus tinggal dalam serba kekurangan.

Keputusan itu ternyata berbaloi apabila mereka yang bersetuju berpindah ke kawasan penempatan baru di Kampung Salarom Taka di sini akan mendapat sebuah rumah baru tiga bilik yang dilengkapi segala kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air.

Rumah tersebut akan menggantikan rumah panjang yang dibina sementara oleh kerajaan bagi menempatkan penduduk Kampung Salarom, Lelimpi, Malilia dan Kubu dalam mukim Sepulut yang bersetuju keluar dari hutan simpan negeri di sekitar daerah ini.

Perpindahan itu adalah selari dengan dasar perhutanan negeri yang tidak membenarkan penduduk tinggal dalam kawasan hutan simpan berkenaan.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan negeri telah melancarkan program penyusunan semula masyarakat yang masih tinggal dalam kawasan hutan simpan dikenali Projek Perhutanan Masyarakat (PPM).

PPM dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Sabah menerusi peruntukan yang diperoleh daripada tabung hasil perhutanan negeri.

Lebih RM4.8 juta disediakan untuk melaksanakan PPM Kampung Salarom Taka di kawasan seluas 40 hektar.

Sementara itu Ketua Kampung Salarom Taka, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kehidupan penduduk di sini aman walaupun perlu mengambil masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Katanya, walaupun kehidupan tidak sama seperti dahulu tetapi beliau percaya manfaat yang akan diperoleh selepas ini lebih besar.

”Bagi saya ini satu pengorbanan untuk masa depan generasi baru di kampung saya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan, pembinaan 73 rumah baru itu kerana ia dapat mengatasi masalah kesesakan di rumah panjang berkenaan.

Katanya, walaupun rumah panjang itu dibina dengan selesa tetapi ia tidak dapat menampung bilangan keluarga sehingga menyebabkan dalam satu lot rumah panjang itu terdapat dua hingga empat keluarga berkongsi tempat tinggal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Salarom Taka, Rami Ompohol, 50, berkata, di kawasan baru itu mereka masih dapat meneruskan aktiviti terdahulu seperti bercucuk tanam.

”Memburu pun boleh tetapi hasilnya tidak lumayan seperti tinggal di dalam hutan dahulu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pembinaan rumah baru itu sebagai ganjaran kepada mereka yang sanggup berkorban meninggalkan kampung halaman dalam hutan simpan.

”Kami tidak menjangka akan mendapat rumah baru tetapi inilah dikatakan manfaat yang tidak diduga,” katanya.

Seorang lagi penduduk Amus Ibun 52, dari Kampung Kabu berkata, program itu perlu disokong kerana ia bukan sekadar memindahkan penduduk tetapi membantu kerajaan membasmi kemiskinan.

”Dalam keadaan yang berselerak, sukar bagi kerajaan untuk menyediakan segala bantuan khususnya kemudahan asas untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Bagi Bulinta Suhul, 72, beliau tetap berterima kasih dan menghargai usaha kerajaan walaupun hanya dapat menikmati semua itu di penghujung usianya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah projek itu dapat diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cucu mereka.
Lumbur Bawang, 46, dari Kampung Malilia pula menyifatkan PPM satu hadiah yang istimewa bagi mereka yang sanggup meninggalkan kedamaian kampung halaman yang diwarisi dari nenek moyang sejak turun-temurun.
“Jika ikut hati, memang kami sukar melupakan kampung halaman dalam hutan simpan dulu kerana segala-galanya ada seperti mudah mendapat binatang buruan dan menangkap ikan di sungai,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, dengan kemudahan yang disediakan segala kekecewaan kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman sedikit terubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails