Sabtu, 21 Ogos 2010

Stor baja, racun akan dibina bantu kurangkan kos petani

NABAWAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan akan membina lebih banyak stor baja dan racun di mukim bagi memudahkan petani mendapatkan bekalan, berbanding terpaksa mendapatkannya di Pejabat PPK di pekan ini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata usaha berkenaan bakal menjimatkan masa dan kos pengangkutan petani, sekali gus membantu mereka menjalankan tugas dengan cepat dan berkesan.

“Sebagai permulaan, PPK akan menyediakan stor di Kampung Lanas, Kampung Karanan dan Kampung Malima,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PPK Nabawan Ke- 3, di Dewan Masyarakat, di sini semalam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Nabawan, Aloysius Anthony; wakil Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah, Samiseh Hasan dan Pengurus Besar PPK Nabawan, Yahya Harris.

Abdul Ghani turut menyampaikan sijil kepada Mohd Jimin Abdullah yang muncul sebagai ahli PPK yang paling banyak melanggan input pertanian dan jentera kecil pertanian kepada Ketua Unit Pertubuhan Peladang Binuow, Suhaimi Kasiman.

Abdul Ghani berkata, penyediaan stor berkenaan juga mampu memastikan bekalan baja dan racun sampai kepada petani secara lebih berkesan.

Beliau berkata, 1,400 petani yang mengusahakan 1,400 hektar sawah di daerah ini dan Sook bakal turut memperoleh manfaat daripada penyediaan stor berkenaan.

Katanya, PPK juga menyediakan perkhidmatan penghantaran baja dan racun subsidi ke setiap stor dan unit PPK di kampung bagi mengurangkan kos petani.

“Kerajaan melantik PPK sebagai agen untuk membekalkan jentera melalui skim pemilikan jentera kecil pertanian bagi memastikan ahli PPK mempunyai kemudahan untuk mengusahakan kebun dan ladang masing-masing.

“Petani yang menjadi ahli PPK boleh memohon membeli jentera bernilai RM10,000 ke bawah secara individu dan RM20,000 ke bawah secara kumpulan. Pembiayaan sebanyak 50 peratus akan ditanggung kerajaan melalui LPP manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh petani,” katanya.

Beliau berkata, PPK Nabawan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada petani sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails