Sabtu, 21 Ogos 2010

Sabah&Sarawak: Pendapatan boleh bantu sara keluarga

Oleh Hassan Omarhassanomar@bharian.com.my

SOOK: “Alhamdulillah, dengan adanya ladang baru ini, saya memperoleh pendapatan lebih tinggi untuk menyara keluarga. Sebelum ini, belum pernah saya menikmati pendapatan yang agak memuaskan seperti sekarang.

“Saya berjanji akan menggunakan pendapatan ini untuk meringankan beban ibu bapa membesarkan adik-beradik saya.”

Kata-kata penuh kesyukuran itu lahir daripada mulut Zalina Petrus, 18, seorang daripada pekerja di ladang getah terbesar di Malaysia milik Bornion Timber Sdn Bhd (Bornion Timber) di Hutan Simpan Ulu Sungai Miliam, dekat sini ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Zalina dan dua rakannya, Stella Tatui, 21, dan Rosyani Maludin, 18, tidak pernah mengimpikan peluang pekerjaan lebih baik selain terpaksa menahan panahan terik matahari ketika memerah keringat di ladang berkenaan.

Sejak Jun lalu, mereka mula bekerja di ladang itu selepas hanya membantu keluarga masing-masing mengusahakan sawah dan menoreh getah di Kampung Simpang Empat, tidak jauh dari ladang berkenaan.

“Tak banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman seperti di tempat kami ini. Pembukaan ladang ini sejak beberapa tahun lalu memberi peluang kami menambah pendapatan. Terima kasih kepada Bornion Timber kerana memberi peluang kepada kami untuk sama-sama memajukan ladang ini,” kata Rosyani.

Setiap hari, mereka akan memastikan anak benih getah di tapak semaian di kawasan seluas 10 hektar di ladang berkenaan diletakkan baja bagi membantu tumbesarannya sebelum dipindahkan ke ladang.

Dengan menahan panas terik matahari, mereka bergerak dari satu pokok ke pokok lain ketika meletakkan baja berkenaan.

Bagi Stella, pencapaian akademik yang tidak tinggi menyebabkan beliau terpaksa berpuas hati memerah keringat di ladang berkenaan bagi membantu ibunya membesarkan lapan adiknya.

“Sejak kematian ibu bapa dua tahun lalu, Rosyani tinggal bersama kami. Pendapatan dengan mengusahakan sawah dan menoreh getah sebelum ini tidak cukup untuk kami sekeluarga. Sekarang, kami mendapat gaji lebih baik di ladang ini,” katanya.

Ladang getah Bornion Timber seluas 25,000 hektar dimajukan di kawasan bekas konsesi penebangan balak seperti merapoh, meranti, cengal dan berlian.

Konsesi pembalakan itu terus dipulihara melalui kaedah Unit Pengurusan Hutan (FMU) di bawah Pengurusan Hutan Secara Mapan (SFM).

Bornion Timber dan rakan kongsinya dari Guandong, China – Kumpulan Guangken Rubber (Guangken) melabur RM230 juta dalam tempoh lapan tahun pelaksanaannya dan bakal meraih keuntungan apabila pokok berkenaan mampu ditoreh selepas berusia enam tahun manakala untuk ditebang, tempoh 25 tahun diperlukan.

Bagi bekas pekerja Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Angkal Emoi, 60, yang kini mencurahkan pengalamannya sebagai perunding di ladang Bornion Timber memberi peluang kepadanya untuk menambah pendapatan bagi membiayai perbelanjaan keluarganya.

Dengan anak lapan orang dan dua daripada mereka masih menuntut ilmu, Angkal bersyukur kerana syarikat berkenaan tidak melihat aspek umur sebagai penghalang untuk beliau menabur bakti.

“Saya ditugaskan mengahwinkan beberapa jenis benih. Antara benih yang kami sediakan di sini ialah PB260, 350 dan 355 manakala RRIM pula ialah 23, 24 dan 25.

“Saya menggunakan pengalaman bekerja selama 30 tahun di LIGS untuk membantu menghasilkan benih pokok getah terbaik di ladang ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails