Sabtu, 21 Ogos 2010

Kampung tersusun diwujud di lembah Terus Madi

KENINGAU: Sebuah perkampungan tersusun diwujudkan di kawasan lembah Terus Madi, melibatkan jumlah penduduk seramai 351 orang.

Kampung tersusun yang buat pertama kali diwujudkan di daerah Keningau itu, diurustadbir oleh Koperasi Terusmadi Keningau Berhad (Ko-Terusmadi).

Pengurus Ko-Terusmadi, Johnny Ongkoroi memberitahu dalam satu kenyataan, kampung tersusun itu merupakan yang pertama seumpamanya ditubuhkan di daerah Keningau.

Katanya, Ko-Terusmadi telah pun mengemukakan permohonan tanah seluas 3,000 ekar kepada kerajaan negeri untuk diusahakan penanaman kelapa sawit.

“Seluas 350 ekar daripada tanah itu akan dibangunkan untuk kawasan kampung tersusun, melibatkan pembinaan rumah penduduk, bangunan sekolah, klinik serta kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Selebih daripada itu katanya, akan diusahakan untuk penanaman kelapa sawit melalui usahasama dengan agensi-agensi kerajaan.

Menjawab satu soalan, Johnny berkata, kampung tersusun itu diwujudkan dengan rekabentuk ‘berpusat’ yang akan memudahkan kerajaan, untuk menyalurkan pembangunan kepada penduduk yang tinggal di pelusuk pedalaman.

Lembah Terus Madi melibatkan beberapa buah kampung terpencil di daerah Keningau, yang antara lainnya Kampung Sinua yang sinonim sebagai penduduk persisiran Gunung Terusmadi yang masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek pembangunan.

Aktiviti harian penduduk yang tinggal di kawasan itu ialah pertanian kecil-kecilan, yang tidak menjanjikan pulangan masa depan kepada masyarakat di kawasan terpencil itu.

Johnny berkata, Ko-Terusmadi merupakan penjana pembangunan kepada penduduk di situ, apabila perancangan meneroka seluas 3,000 ekar di kawasan itu menjadi realiti.

Beliau mahu penduduk yang terlibat di kawasan itu agar bersatu untuk memastikan perancangan tersebut menjadi kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails