Datuk Ellron Angin memuji sikap para peserta atas kesungguhan mereka menyertai bengel dari mula hingga akhir sambil mengingatkan para belia agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak sihat
En. Rayner F. Udong, Ketua Penerangan PBRS sedang menyerahkan sijil kepada penceramah.
Peserta sedang berbengkel...
Mendengar ceramah dengan penuh khusuk...
Keningau: Bengkel bertema “1Malaysia: Di manakah kedudukan belia di luar bandar dalam era globalisasi hari ini?” telah diadakan baru-baru ini (26 Jun 2010 Sabtu), bertempat di Dewan Masyarakat Kg Kapayan Baru, N37 Sook, P182 Pensiangan. Bengkel itu telah dianjur oleh Biro Media dan Perhubungan Awam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang dipengerusikan oleh En. Rayner F. Udong. Bengkel sehari itu telahdirasmikan oleh Y.B Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia merangkap Ahli Dewan Rakyat dan Presiden PBRS manakala penutupan dilakukan oleh Y.B. Datuk Ellron Angin, ADUN N37 Sook, merangkap Pembantu Menteri Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah Tiga kertas kerja telah dibentangkan di dalam bengkel itu, iaitu Pertama; “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” disampaikan oleh En Jainin Yadtaroh dari Jabatan Penerangan Keningau.
Kedua; “Belia Hari Ini: Trend Pemikiran dan Cabaran” disampaikan oleh En. Arthur Joseph Kurup dan Ketiga; “Aktiviti Ekonomi Belia: Petani Moden” yang disampaikan oleh En. Thompson Rayner Seramai 48 orang peserta mewakili 12 buah kampong (2 orang setiap kampong) di kawasan Mukim Trans-Pagalan dan Mukim Ansip telah menyertai bengkel itu. Objektif Bengkel itu antara lain ialah; (a) Mengeratkan lagi hubungan di kalangan belia di kawasan Mukim Sebrang / Trans-Pagalan dan Mukim Ansip. (b) Mendedahkan kepada para belia berhubung dengan makna Slogan “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan (c) Memberi ruang dan peluang kepada para belia untuk menyatakan dan menyalurkan luahan hati, aspirasi dan kehendak belia di luar Bandar pada hari ini.
Di dalam ucapan perasmian bengkel itu, Y.B. Tan Sri Datuk Sri Panglima Joseph Kurup menyatakan bahawa bengkel pada hari itu adalah hasil cetusan minda pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Beliau menyarankan supaya para peserta menggunakan kesempatan itu untuk menyalurkan pendapat, menyatakan aspirasi dan dijadikan wadah untuk menzahirkan masalah serta keperluan para belia di luar bandar. Beliau juga menyarankan para belia luar bandar supaya senantiasa peka terhadap perkembangan di sekeliling mereka setiap masa kerana keadaan dunia pada masa ini tidak lagi “bersempadan”. Para belia harus kreatif dan innovatif dalam era globalisasi hari ini. Belia harus pandai mencari pendekatan baru, untuk keluar daripada sesuatu masalah.
Misalnya, beliau telah mengajak para peserta bengkel untuk menggunakan kreativiti dan innovasi untuk menyelesaikan sesuatu masalah, Misalnya, kata Tan Sri, bolehkah atau tidak, seorang penjenayah berat dan seorang lagi penjenayah biasa yang akan dipenjarakan, ditempatkan di dalam satu penjara yang sama? “Bagaimana menggunakan kreativiti dan innovasi di dalam menyelesaikan persoalan sebegitu?” tanyanya Para belia adalah pemimpin masa hadapan. Justeru itu, para belia mestilah bersedia untuk menimba ilmu supaya tidak ketinggalan dan tidak terpinggir di dalam arus perubahan “dunia tanpa sempadan kini”. Y.B. Tan Sri mengingatkan juga agar para belia pandai menilai maklumat yang baik dan yang tidak baik kerana terlalu banyak maklumat yang boleh didapati hari ini, misalnya dari internet.
Justeru , para belia mestilah berfikir sebelum membuat keputusan dan bukan menerima bulat-bulat sebarang maklumat yang disogokkan kepada mereka tanpa memikirkan nilai maklumat itu. Y.B. Tan Sri juga menasihatkan para peserta agar menggunakan kesempatan dalam bengkel itu untuk mengemukakan cadangan-cadangan supaya para belia di luar bandar terlibat secara langsung di dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Para peserta juga digesa untuk bersatu memberi input kepada pihak kerajaan supaya aspirasi dan keperluan belia luar bandar dapat direalisasikan oleh pihak kerajaan. “Kerajaan berperanan untuk menunaikan tanggungjawab bagi kepentingan belia tetapi pada masa yang sama para belia juga bertanggung jawab untuk memberi input kepada pihak kerajaan” tambahnya. Y.B. Tan Sri mengingatkan para belia supaya berfikiran positif dengan menganggap diri mereka berguna bukan sahaja untuk keluarga mereka sendiri tetapi juga untuk masyarakat dan Negara.
Diri mereka adalah asset yang sangat bernilai buat masyarakat dan Negara. Sebab itu beliau mahu para belia luar bandar bersikap kreatif dan innovatif dan senantiasa bersedia untuk menerima perubahan dan senantiasa berpandangan jauh. Y.B. Tan Sri tidak sanggup melihat para belia di luar bandar ketinggalan dan terpinggir dalam RMK10. Teks Ucapan Tan Sri adalah seperti berikut: Di dalam bengkel tersebut, para belia telah mengenalpasti bahawa masalah belia di luar Bandar antara lain ialah kekurangan maklumat tentang isu-isu semasa, masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran dan memulakan perniagaan, tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik, sikap belia yang tidak pandai mengambil tahu, kurang pendedahan teknologi, salah guna teknologi, masalah rempit (Lumba Haram), kurang kegiatan sosial, salahguna minuman, kurang kegiatan riadah, pengaruh negatif (melepak, pergaduhan, vandalisme, gangster, pengaruh rakan sebaya), kurang kemudahan untuk saluran informasi seperti internet, perpustakaan (untuk tempat rujukan), pengangguran, buang masa dengan merokok dan ‘moginum’ Untuk mengatasi masalah belia di luar Bandar, para peserta bengkel mencadangkan perkara berikut; Kerajaan membuat program khusus untuk para belia. (Contoh: bengkel seperti pada hari itu), belia harus bersifat terbuka untuk mengikuti sebarang program dan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan, perlu ada pendedahan maklumat. (Contoh: membina perpustakaan, pusat internet di kampung-kampung), belia sendiri melibatkan diri dalam kegiatan sosial (contoh: sukan / riadah), menyokong kerajaan untuk pembangunan kampung, kurangkan masa belia dalam melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, perubahan mentaliti belia-belia lebih berfikiran tebuka dan ke hadapan, menambahkan kemudahan IT untuk memudahkan belia mencari info, melibatkan diri dengan aktiviti berfaedah seperti pertanian, kebudayaan, sukan dan kebajikan.
Para peserta telah membuat resolusi bahawa kerajaan dan swasta harus sama-sama memainkan peranan untuk memajukan ekonomi belia luar bandar dengan menyediakan kemudahan dan bantuan dalam bidang pertanian. (Contoh: Tanam getah, padi, dsb,), perikanan dan perniagaan (IKS). Para peserta mohon kepada pihak kerajaan supaya koperasi belia di luar Bandar dibentuk dan seterusnya diberi bantuan keewangan sewajarnya. Mereka mohon kepada pihak kerajaan supaya mengadakan bengkel sekerap yang boleh, memberikan bantuan kewangan untuk modal bagi belia yang kurang mampu, membawa peluang pekerjaan khususnya bidang pertanian dan pelancongan, menyediakan saluran pendedahan kemajuan teknologi (pusat komputer), gelanggang sukan, penganjuran aktiviti, salurkan bantuan untuk infrastruktur asas, mengadakan khidmat nasihat (konsultan) dari semasa ke semasa, bantuan kewangan dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan dan menghasilkan produk, belia libatkan diri dalam sektor pelancongan, peruntukan untuk kemudahan seperti perpustakaan, siber, gelangang futsal dipercepatkan, mengikuti kursus untuk menambah pengetahuan.
Mereka juga telah memutuskan untuk menyokong kerajaan yang ada sekarang tetapi dengan syarat, iaitu; para pemimpin perlu ambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh belia luar bandar dan mengujudkan 1 organisasi belia yang efesien, memastikan pergerakan belia aktif (dengan peruntukan kewangan untuk kemudahan belia) dan belia dilibatkan dalam kegiatan ekonomi. Pada masa ini para peserta mendapati pemerintahan kerajaan memenuhi kehendak dan keperluan rakyat, seperti penyediaan kemudahan awam (jalan raya, lampu jalan, dewan, gelangang,..), menjamin keharmonian di bawah gagasan 1 Malaysia dan kerajaan mendengar suara rakyat. Bagaimanapun, para belia mendapati bahawa kerajaan yang ada sekarang perlu menambahbaik sistem penyampaiannya.
Antara lain, kerajaan harus menseimbangkan keutamaan di antara bandar dengan luar bandar. Tumpuan bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar khususnya dalam usaha meningkatkan ekonomi dan taraf hidup belia dan rakyat seluruhnya. Para belia mohon supaya parti-parti kerajaan turun padang setiap masa dan bukan semasa menjelang pilihanraya sahaja. Para pemimpin harus kerap bersama rakyat dan orang kampung. Turun padang dan memberi pendedahan tentang perkembangan isu-isu semasa, telus, amanah dan perlu memahami keperitan rakyat/penduduk, mesra rakyat dan sensitif terhadap keperluan rakyat. Para belia mengharapkan agar para pemimpin tidak melakukan rasuah, pecah amanah, membuat janji bohong / “janji terang bulan”, cakap tidak serupa bikin, tidak menepati masa, tidak mesra rakyat, tidak amalkan 1 Malaysia, mengenepikan keperluan rakyat, pandang rendah orang kampung, perkauman, pentingkan diri sendiri, diskriminasi, tidak menepati masa serta mengelak diri daripada berjumpa rakyat.
Dalam bengkel itu, para peserta merumuskan bahawa pihak kerajaan lambat menyediakan peruntukan pembangunan yang diminta oleh rakyat, kurang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, mengutamakan ekonomi di bandar semata-mata, kurang mengambilkira kepentingan alam sekitar, berlaku diskrimanasi, jurang perbezaan yang ketara (pendapatan isi rumah), kurang peka terhadap masalah pengangguran / pekerjaan (terutamanya di luar bandar) dan permohonan-permohonan lambat diberi tindakbalas. Sebab itu mereka merayu kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam semua bidang khususnya di luar bandar. Penutupan bengkel dilakukan oleh Y.B. Datuk Ellron Angin. Di dalam ucapan penutupan bengkel, beliau memuji sikap para peserta atas kesungguhan mereka menyertai bengel dari mula hingga akhir sambil mengingatkan para belia agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak sihat.
Beliau juga menyatakan bahawa belia pada hari ini merupakan pemimpin pada masa akan datang. Oleh sebab itu, mereka harus melengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Ilmu dalam erti kata pengetahuan dan bukan “ilmu hitam”. Berdasarkan kepada makumbalas yang diterima oleh pihak penganjur, bengkel pada hari itu telah mencapai objektifnya. Para peserta mencadangkan supaya bengkel seperti itu perlu diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.
Penulis: En. Rayner F. Udong [ Ketua Penerangan PBRS]Tarikh: 26 Jun 2010, Sabtu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan