NABAWAN 16 Julai – Lebih 2,000 penduduk di mukim Pensiangan dekat sini akan menikmati kemudahan perhubungan yang lebih mudah apabila jalan raya dari Sepulut ke Kampung Siato, Pensiangan siap tidak lama lagi.
Pembinaan jalan sejauh 30 kilometer itu kini sedang giat dilaksanakan oleh syarikat Helang Biru Sdn. Bhd.
Pengarah Urusan Kumpulan Helang Biru, Rugayah Ali berkata, selain jalan terbabit, pihaknya mendapat kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk membina kemudahan pelancongan di Kampung Siato.
”Jika cuaca mengizinkan jalan tersebut dijangka siap awal bulan depan. Penyelenggaraan dan pembersihan bekas jalan pembalakan itu kini giat dilakukan” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama penduduk di Balai Budaya Pensiangan, di sini baru-baru ini.
Rugayah berkata, pembinaan jalan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Sabinait dan mukim Sepulut untuk berurusan dengan keluarga di kawasan Pensiangan.
Katanya, dengan adanya jalan raya itu akan memudahkan penduduk setempat memasarkan hasil tanaman mereka berbanding menggunakan sungai seperti dilakukan hari ini.
Mengenai kemudahan pelancongan itu, beliau menjelaskan pembangunan tersebut berkonsepkan mesra alam dengan mengekalkan kehijauan bumi di kawasan itu.
Sementara itu penduduk yang ditemui menyambut baik langkah menyelenggara jalan raya yang sudah rosak dan terputus lebih lima tahun lalu.
Seorang penduduk Kasiwat Angkawang, 47, berkata, dengan adanya jalan tersebut akan memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tanaman mereka.
“Pada masa ini kami menggunakan bot tetapi pengangkutan itu amat terhad dan kosnya terlalu tinggi” katanya.
Ketua Kampung Salinatan, Ambaril Antutun, 73, berkata, selama ini penduduk menghadapi kesukaran untuk menjalankan urusan di Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan kerajaan lain di Nabawan.
”Sejak jalan raya ini tidak boleh dilalui banyak urusan tertangguh kerana masalah pengangkutan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan