Sabtu, 21 Ogos 2010

Tindakan terhadap kontraktor

Oleh Sitti Nor Azizah Talatautusansabah@utusan.com.my


Projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Luagan, di daerah Keningau yang terbengkalai.

KENINGAU 23 Ogos – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan di sini dengan kos RM7.8 juta.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Rayner F. Udong berkata, bangunan tambahan itu yang kini menjadi projek gajah putih sudah tiga bulan terbengkalai.

“Tidak seorang pun pekerja berada di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu. Justeru, kami minta kerajaan mengambil serius perkara ini kerana bangunan sekolah sedia ada telah uzur dan sesak.

“Pembinaan bangunan tambahan itu baru siap 10 peratus dan ternyata, kerja-kerja terbengkalai ini amat memalukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai ibu bapa yang melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan perkembangan tersebut sedangkan sekolah berkenaan hanya tiga kilometer dari pekan Keningau.

“Ini amat menyedihkan kerana projek-projek seangkatan dengan SK Luagan contohnya SMK Keningau II dan SMK Apin-Apin telah pun siap dan boleh digunakan tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau berkata, masalah tersebut perlu diatasi segera dan dicari punca utama mengapa kontraktor sedia ada tidak lagi meneruskan kerja-kerja pembinaan di sekolah itu.

Menurutnya, usaha wakil rakyat di situ untuk mendapatkan kemudahan yang lebih selesa tidak perlu disia-siakan kerana bukan mudah untuk satu-satu peruntukan diluluskan.

Katanya, bukan sahaja sekolah tersebut amat memerlukan bangunan tambahan atau sekolah baru tetapi juga di sekolah lain di daerah ini.

Selain bangunan baru berikutan pertambahan murid, kata Rayner, keperluan bangunan tambahan seperti blok asrama, pusat pentadbiran, dewan dan makmal juga perlu dibina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails