Sabtu, 21 Ogos 2010

JKR AKAN SELENGGARA JALAN HUTAN SIMPAN


Oleh: ROZIE JUMAT

SEBANYAK dua buah rangkaian jalan di daerah Kecil Sook yang masih di bawah konsensi Jabatan Hutan telah dicadangkan untuk diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jalan itu merangkumi Jalan Bornion dan Jalan Batu 16 sehingga ke Kg.Pohon Batu (termasuk jalan dari SK.Karamatoi ke Kg.Sanang) yang melibatkan 40 kilometer. Jalan-jalan tersebut masih dikenali sebagai jalan balak dan merupakan jalan utama penduduk kampung.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) N.37 Sook, Charles Ikang berkata, Pejabat JKR Daerah Kecil Sook juga telah dihubungi dan mengesahkan bahawa jalan-jalan tersebut juga telah dicadangkan oleh JKR untuk diambil alih.

Charles menafikan tomahan atau rungutan rakyat bahawa pejabat itu dan Wakil Rakyat tidak melihat kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan itu.

Beliau mengulas kenyataan akhbar yang dibuat oleh seorang ketua kampung dari Kampung Lumiri, mendakwa wakil rakyat tidak menunaikan janji.

“Jalan raya yang dimaksudkan itu merupakan jalan balak yang masih di bawah konsensi Jabatan Hutan, bagaimanapun wakil rakyat (Datuk Ellron Angin) telah masukkan dalam senarai peruntukan pembaikan jalan,” kata Charles.

Untuk makluman kata Charles, pejabat UPKR Sook telah menyenaraikan perancangan pembangunan bernilai RM90 juta pelbagai kemudahan termasuk penyelenggaraan jalan di kawasan itu.

Oleh itu kata Charles adalah tidak benar wakil rakyat tidak melihat kesusahan rakyat di kawasan itu, malahan banyak melawat dan turun ke bawah bagi mendalami masalah dan kesusahan rakyat.

Malahan kata Charles, wakil rakyat dan Pejabat UPKR mengadakan mesyuarat bersama dengan pengerusi-pengerusi jawatan kuasa keselamatan kampung yang bertujuan antara lainnya mengetahui masalah di peringkat kampung.

Beliau juga menasihati pengerusi JKKK atau pemimpin kampung agar datang ke pejabat UPKR untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan atau berkenan dengan projek kampung yang mereka pohon.

“Bagi pihak wakil rakyat dan rakyat di Sook, kami ingin ucapkan terima kasih kepada JKR yang memasukkan jalan tersebut (termasuk jalan Kg. Lumiri) untuk diselenggarakan, kita juga mahu rakyat bersabar,” kata Charles.

Charles yang juga Setiausaha Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Pusat juga merayu kepada kerajaan agar kawasan pedalaman seperti N.37 Sook diberikan peruntukan berlebihan memandangkan keadaan kawasan itu yang masih lagi memerlukan suntikan pembangunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails