Sabtu, 21 Ogos 2010

PERUNTUKAN AHLI PARLIMEN L-BANDAR MUNGKIN DITAMBAH


SERAH KUNCI ... Shafie (tiga, kanan) serah kunci PBR kepada salah seorang penerima.

NABAWAN: Kerajaan akan menimbang untuk menambah peruntukan Ahli Parlimen di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal berkata, kerajaan akan meneliti tambahan peruntukan bagi Ahli Parlimen di kawasan luar bandar yang terpencil terutama di Sabah dan Sarawak.

“Kita akan teliti terlebih dahulu sebelum melaksnakannya kerana ia perlu dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan,” katanya kepada media selepas Program Mesra Rakyat di Felcra Pamuntarian dekat sini kelmarin.

Beliau mengulas permintaan Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup agar peruntukan Ahli Parlimen di kawasan luar bandar ditambah.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, Kementeriannya juga akan menimbang dan meneliti tambahan peruntukan Ahli Parlimen kawasan luar bandar kerana di kawasan yang terpencil memerlukan peruntukan yang lebih untuk melaksanakan projek pembangunan yang dirancang.

Bagaimanapun katanya, tambahan peruntukan Ahli Parlimen yang diminta itu bukan sahaja untuk Ahli Parlimen kawasan luar bandar tetapi ia juga dipertimbangkan bagi kawasan Parlimen yang berhampiran di bandar yang masih memerlukan pembangunan.

Menjawab soalan lain Shafie berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan melaksanakan program turun padang yang ditekankan Perdana Menteri Dato’Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Katanya program turun padang membolehkan kepimpinan melihat suasana di luar bandar dan rakyat di akar umbi.

“Apabila kita turun ke bawah, permasalahan penduduk yang perlu diselesaikan dapat di lihat dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, KKLW mempunyai agensi-agensi seperti Kemas, Felcra, Risda dan Mara yang turut menjayakan program Kementerian.

Katanya, agensi-agensi berkenaan mempunyai peranan masing-masing membantu rakyat untuk peningkatan ekonomi.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata KKLW akan memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan Nabawan.

Beliau berkata, Kementeriannya telah banyak menerima cadangan-cadangan projek pembang- unan di daerah ini daripada pemimpin-pemimpin di kawasan ini.

Shafie turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM13.57 juta untuk membiayai projek di bawah NKRA.

Daripada jumalah peruntukan itu katanya, RM8.7 juta membiayai bekalan elektrik bagi 225 buah rumah penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini.

RM4.4 juta lagi membiayai pembinaan 100 buah rumah dibawah Program Bantuan Rumah (PBR) sementara itu RM220,000 diperuntukkan untuk pembinaan parti bagi 11 buah kampung di daerah ini dan RM200,000 untuk Prgoram Peningkatan Pendapatan membabitkan 20 peserta.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah yang juga Adun Naba- wan Datuk Bobbey Suan, Kurup, Ketua Umno Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin, Ketua Pengarah Kemas Malaysia Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan, Pengarah Kemas Sabah Drs Massidi Kantong, Ketua Pegawai Ekskutif Felcra Berhad Haji Juziman Basir, Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Sabah Haji Samian Mohd. Ali, Pegawai-Pegawai Kanan Kemas dan Felcra, ketua-kerta jabatan dan pemimpin- pemimpin masyarakat.

Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang itu Shafie menyampaikan dividen berjumlah RM172,666 kepada 81 peserta Felcra Berhad Pamuntarian.

Beliau juga menyampaikan kunci rumah PBR, satu set komputer untuk Tabika Kemas Mosopoh, Bantuan Ekonomi dan buku prospektus sumbangan Kelab Pencinta.

Sementara itu dalam Majlis Mesra Rakyat di Kg. Bakuku, Tenom Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu meluluskan peruntukan RM33.03 juta untuk pembangunan projek di kawasan Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.

Peruntukan itu membiayai pembinaan jalan luar bandar sepanjang 11 kilometer bernilai RM22.5 juta untuk kegunaan 1,400 penduduk.

Projek-projek lain yang dibiayai dengan peruntukan itu, bekalan elektrik untuk 13 buah kampung membabitkan 187 buah rumah dengan kos RM5.1 juta, Program Bantuan Rumah sebanyak 130 buah bagi daerah Tenom dan Kemabong RM5.2 juta dan Program Peningkatan Pendapatan bagi empat buah kampung dengan 20 peserta RM200,000.

Pada majlis itu, Shafie juga mengumumkan projek naiktaraf jalan Kuala Tomani – Ulu Tomai sejauh kira-kira 23 kilometer yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan dan menaiktaraf rumah kebudayaan Kg. Bakuku pada tahun ini.

Di Tenom Shafie diraikan dalam satu majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, Adun Liawan Datuk Haji Sairin Haji Karno, Adun Bingkor Justin Guka, Adun Sook Datuk Ellron Angin, Abdul Ghani, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Haji Ruslan, Exco Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar, ketua-ketua jabatan dan pemimpin- pemimpin masyarakat di kawasan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails