Sabtu, 21 Ogos 2010

Pembinaan jalan elak penduduk berperahu semula


Usaha memajukan kawasan terpencil sebagai tarikan pelancong asing

PENSIANGAN: “Kami tidak sanggup lagi berperahu ke Salong sebab minyak mahal. Kami berterima kasih kepada pemaju yang bermurah hati membuka semula laluan balak untuk dijadikan jalan dari pekan Sepulot ke kampung kami.

“Paling akhir kami gunakan laluan balak ialah 1994. Selepas itu tak boleh digunakan lagi kerana syarikat pembalakan sudah habis mengeluarkan balak di sini, jadi tiada siapa mahu menyelenggara laluan itu dan terpaksalah kami berperahu.”

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pensiangan, Bluroh Angayang, 45, tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ketika ditemui Berita Harian di kampung itu baru-baru ini, mengenai pembinaan jalan tidak berturap sepanjang 34 kilometer (km) dari Sepulot ke kampung berkenaan.

Beliau berkata, sejak 1994, kira-kira 100 penduduk kampung itu dan ratusan lagi penduduk Kampung Sinakuluan, Sosoko, Kuyoh, Sikait, Sabinait, Sumolombong, Kapiasau, Binanding, Pegalungan, Silungai, Buntong, Sigatal, Sikalabut dan Sebuayoh tidak mampu menggunakan laluan balak ke Sepulot.

Selain ditutupi pokok, laluan itu tidak mampu digunakan kerana kebanyakan tebingnya runtuh akibat hakisan manakala ketiadaan penyelenggaraan memburukkan keadaan.

Bluroh berkata, penduduk seolah-olah sudah jemu meminta kerajaan menyediakan jalan berkenaan bagi kemudahan mereka dan beberapa kampung berhampiran.

“Rayuan kami tidak diberi perhatian. Kami faham, tiada apa yang ada di kampung kami. Tiada sumber ekonomi yang menguntungkan. Bagaimana kami hendak memajukan kebun getah dan tanaman lain kalau tiada jalan untuk mengangkut hasil pertanian kami keluar?

“Dengan adanya jalan ini, kami berjanji akan berusaha lebih gigih memajukan kebun getah dan tanaman lain,” katanya.

Berita Harian sebelum ini melaporkan usaha syarikat pemaju hartanah yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Helang Biru Bumi Sdn Bhd (Helang Biru) membina semula jalan dari Sepulot ke Kampung Pensiangan.

Ini kerana syarikat itu bakal memajukan industri pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi dan projek penternakan kambing serta lembu di kawasan kira-kira 200 hektar di Kampung Siatoh, dekat sini.

Pengarah Urusannya, Rugayah Ali, dilaporkan berkata, pembinaan jalan menelan kos tinggi itu bertujuan memajukan kawasan terpencil berkenaan sebagai tarikan pelancong domestik dan antarabangsa yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Penduduk Kampung Pensiangan, Siguntang Ngilo, 46, berkata penduduk kampung terhutang budi kepada syarikat itu kerana dapat menumpang jalan yang dibina untuk tujuan komersial Helang Biru.

“Bayangkan, setiap kali kami pergi balik pekan kecil Salong dengan menaiki perahu, kami terpaksa habiskan RM80 untuk membeli petrol. Dengan nilai wang sama kalau kami menggunakan kenderaan darat, kami sudah boleh sampai ke Keningau.

“Susah untuk kami membawa hasil pertanian menggunakan perahu. Kalau arus terlalu deras, kami tidak dapat keluar. Kalau musim kemarau, sungai menjadi terlalu cetek dan tidak boleh dilalui perahu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan jalan berkenaan secara tidak langsung memberi galakan kepada penduduk untuk memajukan kebun masing-masing, selain memudahkan penduduk membawa pesakit ke klinik di pekan Nabawan atau hospital di Keningau berbanding terpaksa menggunakan perahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails